Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN PERASMIAN OLEH YANG BERUSAHA ENCIK TAN BENG SWEE SETIAUSAHA BAHAGIAN KEMAJUAN INDUSTRI KOKO DAN LADA KEMENTERIAN PERUSAHAAN PELADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA TAKLIMAT SKIM KADAR RATA DI HOTEL MEGA, MIRI, SARAWAK KHAMIS, 8 OKTOBER 2015

UCAPAN PERASMIAN OLEH

YANG BERUSAHA ENCIK TAN BENG SWEE

SETIAUSAHA BAHAGIAN KEMAJUAN INDUSTRI KOKO DAN LADA

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PELADANGAN DAN KOMODITI

SEMPENA TAKLIMAT SKIM KADAR RATA

DI HOTEL MEGA, MIRI, SARAWAK

KHAMIS, 8 OKTOBER 2015

(Disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato Grunsin Ayom,

Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia)

Puan Juriah Nor binti Juhari

Penolong Kanan Pengarah Kastam II

Puan Sabariah binti Yusof

Penolong Kanan Pengarah Kastam II

Pegawai-pegawai Kanan agensi dibawah MPIC dan MPB,

Tuan-tuan dan puan-puan, para pekebun kecil yang saya hormati sekalian,

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa.

Terlebih dahulu saya ingin sampaikan salam hormat daripada Encik Tan Beng Swee, Setiausaha Bahagian Kemajuan Koko dan Industri Lada, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Beliau tidak dapat hadir pada pagi ini kerana mempunyai tugas rasmi lain yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian, saya telah diamanahkan oleh beliau untuk menyampaikan teks ucapan beliau dan seterusnya merasmikan taklimat pada hari ini. Ucapan beliau adalah seperti berikut:

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) atas daya usaha dan inisiatif bagi menganjurkan Taklimat Faedah Skim Kadar Rata (SKR) di Hotel Mega, Miri, Sarawak pada hari ini.

2.      Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan penyertaan tuan-tuan dan puan-puan bagi memeriahkan program pada pagi ini. Saya difahamkan bahawa seramai 100 orang peserta telah terpilih menyertai Taklimat SKR ini yang terdiri daripada pegawai-pegawai pengembangan agensi-agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan para pekebun kecil bagi komoditi sawit, getah, koko dan lada. Tuan-tuan dan puan-puan telah dipilih dan diberi kepercayaan oleh Kerajaan melalui MPIC dalam menyebarkan maklumat berkaitan SKR kepada rakan-rakan pekebun kecil komoditi yang lain. Oleh yang demikian, saya berharap tumpuan sepenuhnya dapat diberikan semasa berlangsungnya taklimat nanti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3.      Sektor perladangan dan komoditi yang meliputi produk-produk sawit, getah, kayu kayan, koko, tembakau dan lada telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan ekonomi negara. Sektor ini juga merupakan salah satu penyumbang utama kepada pendapatan eksport negara dan telah banyak menyumbang kepada peningkatan pendapatan penduduk luar bandar.

4.      Pada tahun 2014, nilai eksport produk-produk komoditi negara adalah RM116.6 bilion atau 15.22 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Dalam hal ini, pekebun kecil merupakan tulang belakang industri komoditi negara di mana sektor ini dipelopori oleh kebanyakan para pekebun kecil.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

5.      Selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, Kerajaan telah melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) yang berkuatkuasa pada 1 April 2015. Pelaksanaan GST ini menjadikan sistem cukai sedia ada lebih mudah, telus dan lebih cekap dengan memperkemas percukaian di setiap peringkat rantaian bekalan kepada pengguna akhir.

6.      Kerajaan sedar mengenai masalah kenaikan harga barangan yang dihadapi oleh para pekebun terutamanya kenaikan harga input pertanian. Namun begitu, Kerajaan amat peka terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sentiasa mencari alternatif untuk meringankan kos pengeluaran yang ditanggung oleh para pekebun kecil. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan Skim Kadar Rata (SKR) iaitu satu kemudahan bagi membantu golongan petani atau pekebun kecil yang berpendapatan tahunan di bawah RM500,000 yang tidak layak berdaftar dengan Jabatan Kastam untuk layak mendapat kembali cukai yang telah dikenakan ke atas pembelian input pertanian.

7.      Justeru itu, MPIC telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan taklimat mengenai pemberian Faedah Skim Kadar Rata bagi menerangkan dengan lebih jelas tentang keistimewaan Skim Kadar Rata kepada para pekebun. Ini bagi memastikan pekebun kecil yang berkecimpung dalam industri komoditi sentiasa menerima informasi dengan perubahan dan pelaksanaan dasar Kerajaan. Bagi melengkapkan kefahaman mengenai pelaksanaan skim ini, bersama-sama dengan kita pada hari adalah pegawai dari Jabatan Kastam yang akan memberikan penerangan lanjut mengenai SKR ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

8.      Saya yakin dan percaya bahawa taklimat hari ini mampu meningkatkan pengetahuan berhubung faedah Skim Kadar Rata. Dengan itu, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat menguar-uarkan kepada para pekebun yang lain agar mereka sama mendapat manfaat melalui skim ini.

9.      Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang turut sama-sama menjayakan taklimat pada hari ini. Adalah menjadi harapan saya agar setiap peserta dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi daripada taklimat ini.

10.    Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Taklimat Faedah Skim Kadar Rata di Hotel Mega, Miri, Sarawak pada hari ini.

Sekian, terima kasih.