Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN YB DATUK SERI PANGLIMA YAHYA HJ HUSSIN, TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN SABAH SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN KURSUS TEKNOLOGI PENGELUARAN LADA HOTEL FOUR POINTS BY SHERATON, KUCHING, SARAWAK 29 JANUARI 2

TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI PANGLIMA YAHYA HJ HUSSIN,
TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI MAKANAN SABAH

SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN KURSUS TEKNOLOGI PENGELUARAN LADA


HOTEL FOUR POINTS BY SHERATON, KUCHING, SARAWAK
29 JANUARI 2015

(Disampaikan oleh YB Datuk Haji Sairin Karno,

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah)

Yang Berhormat Dato’ Henry Sum Agong,
Pengerusi, Lembaga Lada Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas.
Yang Berbahagia Dato Grunsin Ayom,
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia.
Yang Berbahagia Hj. Jumahat Intang,
Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah
Yang Berbahagia Tuan Idrus Shafie,
Pengarah Jabatan Pertanian Sabah
Pegawai-pegawai kanan Lembaga Lada Malaysia,
Para peserta kursus,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terlebih dahulu izinkan saya menyampaikan salam hormat Y.B. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Y.B. Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin memohon maaf kerana tidak dapat hadir bersama-sama kita dalam Majlis Penutupan Kursus Teknologi Pengeluaran Lada ini atas sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, Y.B. Datuk Seri Panglima mengamanahkan saya untuk mewakili seterusnya menyampaikan ucapan beliau seperti berikut:
2.      Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah berterima kasih di atas kesudian Yang Berhormat Dato’ Henry Sum Agong, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas dan Ahli-Ahli Lembaga yang telah mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian saya pada 17 Oktober 2014 yang lepas. Di dalam kunjungan hormat tersebut, beberapa perkara telah dibincangkan terutamanya kerjasama dan usahasama di antara Kementerian Pertanian dan Industri Sabah dan Lembaga Lada Malaysia (MPB) berkenaan dengan perluasan tanaman lada di Sabah.
3.   Semasa kunjungan tersebut, saya telah dimaklumkan bahawa pejabat MPB telah ditubuhkan di Kota Kinabalu pada tahun 2012 semasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia ketika itu disandang oleh Y.B. Tan Sri Bernard Giluk Dompok, sebagai usaha untuk mengembangkan penglibatan rakyat Sabah dalam industri penanaman lada hitam. Saya dimaklumkan bahawa pekebun-pekebun kecil di beberapa daerah seperti Kota Belud, Penampang, Kota Marudu, Pitas, Ranau, Tambunan dan Membakut sudah mulai terlibat di dalam penanaman lada hitam ini.
4.   Sesungguhnya, saya berterima kasih kepada MPB kerana memperkenalkan komoditi ini sebagai satu pilihan tanaman kepada rakyat Sabah. Selain lada hitam, pekebun kecil juga boleh terlibat di dalam penanaman komoditi lain seperti getah, kelapa sawit dan koko serta beberapa lagi tanaman pertanian yang lain. Dengan harga yang amat baik pada masa ini, iaitu RM26.00 sekilogram bagi lada hitam dan RM36.00 sekilogram bagi lada putih, sudah tentunya ini akan meningkatkan minat dan rasa ingin tahu dan seterusnya terlibat secara langsung di kalangan pekebun kecil di Sabah.
5.      Justeru, kerjasama dan usahasama di antara Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dengan MPB amatlah penting bagi memacu pendapatan rakyat melalui pertanian sesuai dengan agenda Halatuju Negeri Sabah di mana sektor pertanian menjadi salah satu daripada tiga sektor utama penjana ekonomi negeri Sabah.
6.   Sebenarnya, penanaman lada hitam bukanlah sesuatu yang baru di Sabah kerana Kerajaan Negeri pada masa yang lepas pernah memperkenalkan tanaman ini. Bagaimanapun, kerana jangkitan penyakit pada masa itu, maka penanaman tersebut tergendala sehinggalah MPB membuka tapak di Sabah. Saya yakin dengan kekuatan penyelidikan dan pembangunan oleh pihak Lembaga, maka kebimbangan mengenai dengan serangan penyakit seperti yang dialami pada masa yang lepas dapat diatasi.
7.   Pada masa ini, pihak Kementerian melalui Jabatan Pertanian Sabah telah membenarkan MPB menggunakan kawasan tanah di Pusat Latihan Pertanian Bersepadu (IATC) Putatan untuk tujuan kajian penanaman. Ini merupakan usaha awal bagi membina jalinan kerjasama dan usahasama yang lebih erat lagi pada masa hadapan demi untuk kebaikan para pekebun kecil di Sabah.
8.      Setiausaha Politik saya, saudara Ewon Benedick juga telah berbincang dengan saya mengenai program-program yang sentiasa dilakukan khususnya di kawasan Kota Belud seperti program ceramah dan pameran di kampung-kampung yang dibuat oleh pihak Lembaga. Saya difahamkan oleh beliau bahawa pemantauan bulanan dibuat oleh pegawai MPB bagi memastikan para pekebun kecil mematuhi Amalan Pertanian Baik disamping memastikan tanaman lada tersebut berkembang dengan sempurna.
9.   Dalam lawatan kerja saya ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian pada bulan Oktober tahun lepas, keinginan penduduk kampung untuk menanam lada hitam juga telah dikemukakan kepada saya termasuklah di kawasan tanah yang digazetkan kepada Jabatan Pertanian Sabah, tetapi belum digunakan buat masa ini. Saya tidak ada halangan bagi tujuan ini selagi ianya tidak menjejaskan polisi sedia ada serta perancangan masa hadapan oleh Jabatan Pertanian terutamanya apabila kawasan tersebut mahu digunakan oleh Jabatan Pertanian pada masa akan datang.
10.   Saya turut difahamkan bahawa seramai 40 orang peserta Kursus Teknologi Pengeluaran Lada di Kuching ini yang diketuai oleh Setiausaha Politik saya dipilih khas di kalangan pekebun-pekebun kecil dan pimpinan kampung seperti Pengerusi-Pengerusi JKKK dan Ketua-Ketua Kampung daripada daerah Kota Belud. Saya pasti para peserta tidak akan balik dengan tangan kosong, sebaliknya membawa bersama pengetahuan dan pendedahan yang amat berguna agar memulakan penanaman lada hitam di tanah masing-masing kelak.
11.    Selaku Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, adalah menjadi hasrat saya untuk melihat rakyat Sabah, khususnya pekebun-pekebun kecil mendapat manfaat daripada usaha Kerajaan seperti ini. Dengan cabaran ekonomi dunia yang semakin mencabar sepertimana yang kita hadapi sekarang ini, saya menggesa agar para pekebun kecil dapat membangunkan sepenuhnya tanah-tanah yang dimiliki samada untuk penanaman komoditi ataupun tanaman kontan yang lain. Ini amatlah penting bukan sahaja untuk menjana pendapatan, tetapi juga keselamatan makanan bagi negara kita, terutamanya bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan makanan yang diimport.
12.    Sungguhpun, saya tidak dapat bersama-sama pada kunjungan ke Sarawak pada kali ini, namun saya masih berharap dapat datang pada kesempatan yang akan datang untuk melihat sendiri bagaimana pekebun-pekebun kecil lada hitam di Sarawak berjaya di dalam industri ini. Saya terus komited di dalam kerjasama dan usahasama yang sudah dimulakan ini supaya lebih banyak lagi program dan kursus sebegini dapat diadakan di Sabah. Pihak Kementerian saya juga bersedia mendengar pandangan dan cadangan daripada pihak MPB serta bertukar-tukar hasil penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan.
13.    Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Henry, beberapa agensi Kerajaan Persekutuan seperti FAMA, MARDI, TEKUN, BERNAS antara lainnya juga turut dijemput menghadiri mesyuarat pasca-kabinet Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah bagi memberikan ulasan berkaitan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam mesyuarat Kerajaan Negeri Sabah. Justeru, saya juga telah menyebut dalam mesyuarat pasca-kabinet Kementerian yang lepas berhubung dengan penyertaan agensi seperti MPB untuk turut hadir dalam mesyuarat tersebut.
14.    Kita juga menganjurkan Sambutan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah setiap tahun. Saya difahamkan pihak MPB turut dijemput menjadi ahli forum dalam sambutan pada tahun lepas yang diadakan di Sandakan. Pada tahun ini pula, saya ingin melihat agar MPB juga menyertai pameran sempena sambutan ini untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai dengan teknologi pengeluaran lada dan produk-produk yang dihasilkan. Dengan langkah sebegini, saya yakin penanaman komoditi ini di Sabah akan dapat terus dipacu dan lebih ramai lagi pekebun kecil boleh membuat pilihan berdasarkan kepada potensi dan minat mereka sendiri ke atas pilihan tanaman tersebut.
15.    Saya berharap agar lebih banyak kajian dapat dijalankan di Sabah mengenai kesesuaian penanaman dan teknologi yang berkaitan agar pengalaman yang pernah dialami sebelum ini tidak berulang kembali. Saya juga berharap agar lebih banyak lagi peruntukan pembiayaan program pembangunan pekebun kecil lada hitam dibawa ke Sabah oleh MPB. Daripada masa ke semasa, saya akan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan prestasi dan pencapaian bagi penanaman lada hitam ini di Sabah.
16.    Dalam kesempatan ini juga, saya ingin menggesa supaya para pekebun kecil yang menyertai kursus ini akan dapat mencetuskan contoh kepada pekebun kecil yang lain. Ada ungkapan yang mengatakan bahawa, tanaman komoditi getah merupakan gaji harian, tanaman kelapa sawit adalah gaji bulanan, manakala tanaman lada hitam merupakan bonus tahunan. Justeru, bangunkanlah tanah-tanah yang anda miliki secara sepenuhnya. Saya difahamkan tanaman lada hitam ini boleh diintegrasikan dengan beberapa tanaman jangka pendek yang lain seperti halia terutamanya pada peringkat usia awal lada hitam. Saya kira ini adalah satu potensi yang amat baik kepada penjanaan sumber pendapatan para pekebun.
17.    Dengan kata-kata itu, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim menyempurnakan penutupan Kursus Teknologi Pengeluaran Lada bagi pekebun-pekebun kecil Sabah ini.
 
Sekian dan terima kasih.