Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN YANG BERBAHAGIA DATO GRUNSIN AYOM PENGERUSI LEMBAGA LADA MALAYSIA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH DALAMAN LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA HARI INOVASI 2015 AHAD, 25 OKTOBER 2015

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATO GRUNSIN AYOM
PENGERUSI LEMBAGA LADA MALAYSIA
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN DAN PENYAMPAIAN ANUGERAH DALAMAN LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA HARI INOVASI 2015
AHAD, 25 OKTOBER 2015
DI
DAMAI PURI RESORT & SPA, SANTUBONG, SARAWAK

Terima kasih Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha Encik Philip Gaweng,

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan),

Yang Berusaha Encik Vincent Sawat

Pemangku Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia & Pentadbiran Am

Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Hari Inovasi 2015

Lembaga Lada Malaysia

Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah,

Semua Ketua Pejabat Wilayah dan Cawangan,

Para Pesara MPB,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Selamat pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Terlebih dahulu, pada hari yang berbahagia ini, Saya mengucap syukur kerana kita dapat bersama lagi di perhimpunan bulanan pejabat. Sesungguhnya, hari ini merupakan hari yang penuh bermakna dan istimewa kerana, selain dari berhimpun pada hari ini juga akan berlangsung upacara Penyampaian Anugerah Dalaman MPB dan penghargaan kepada kakitangan yang telah bersara.

2.      Kita semua telah berkampung di sini sejak hari jumaat yang lepas bagi meraikan Hari Inovasi yang padat dengan gabungan aktiviti yang berbentuk pembangunan minda dan kecergasan bagi melahirkan warga MPB yang berfikiran kreatif dan inovatif. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur yang telah berjaya menggabungkan beberapa aktiviti dalam tempoh 3 hari ini iaitu taklimat, sukaneka, Hari Inovasi, Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Dalaman MPB dengan sambutan yang penuh meriah dan ceria. Bertemakan “Berinovasi Untuk Transformasi Industri Lada” adalah bertepatan pada waktunya bagi melahirkan warga yang mampu mencipta inovasi yang berkualiti serta menjadikan MPB sebuah organisasi yang kekal relevan dan berdaya saing selari dengan misi dan visi yang telah ditetapkan. Dalam masa yang sama, Inovasi juga menjadi pemangkin kepada usaha-usaha yang berterusan untuk mencapai sasaran bagi meningkatkan produktiviti, kualiti dan kemampanan industri lada negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

DASAR KOMODITI NEGARA (DKN)

3. Seperti yang kita semua sedia maklum, Industri lada adalah salah satu komoditi utama yang berterusan menjana ekonomi negara. Pada tahun 2014, Industri lada telah menyumbangkan sebanyak RM 405 juta daripada jumlah eksport negara. Industri lada telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar kerana industri ini dipelopori oleh para pekebun kecil yang rata-ratanya tinggal di luar bandar. Antara penekanan yang diberi tumpuan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) ialah dengan meningkatkan pendapatan isi rumah sedia ada kepada sekurang-kurangnya RM 4,000 sebulan.

4.      Dalam hal ini, adalah menjadi tanggungjawab warga MPB dalam membantu meningkatkan pendapatan para pekebun-pekebun kecil di luar bandar bagi melengkapi usaha kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan penduduk luar bandar. Saya percaya usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan secara langsung akan membantu meningkatan daya saing industri lada.

5.      Justeru, saya ingin menyeru semua warga MPB untuk bersama-sama berusaha secara gigih dalam usaha mentransformasi negara melalui peningkatan produktiviti kerja. Kita seharusnya mengamalkan pemikiran kritis dan konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjawat awam dengan sentiasa berfikir di luar kotak kebiasaan dalam menjalankan tugas harian.

6. Kerajaan telah menyediakan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 yang merupakan dokumen untuk memantapkan lagi pembangunan industri komoditi negara. Halatuju pembangunan industri lada adalah tertumpu kepada teras-teras strategik yang berikut:

  1. Meningkatkan pengeluaran dan daya saing pengeluaran lada;
  1. Memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D);
  1. Mengukuhkan pendapatan pekebun kecil;
  1. Memperluas pasaran;
  1. Memperkasa modal insan

7.      Dalam kes industri lada, sasaran pendapatan eksport menjelang 2020 adalah RM650 juta. Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) melalui MPB akan terus komited untuk mempergiatkan usaha-usaha untuk memperluaskan tanaman lada kepada 20,000 hektar dan sasaran pengeluaran lada negara mencapai 42,000 tan menjelang 2020.

KEBAJIKAN WARGA KERJA

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

8.      Dalam usaha kita untuk mencapai wawasan negara, kebajikan warga juga turut diberi perhatian agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Baru-baru ini Lembaga Pengarah MPB telah meluluskan kertas kerja Pewujudan Dana Kemudahan Perubatan di Perkhidmatan Lembaga Lada Malaysia yang bertujuan untuk menjaga kebajikan warga kerja, keluarga, ibu bapa dan pesara.

9.      MPB juga turut memberi kemudahan tambah nilai telefon bimbit sejumlah RM50.00 sebulan kepada para pegawai bergred 41 dan 44 dan RM30.00 sebulan kepada para pegawai yang menyandang jawatan Ketua Pejabat Cawangan dan pegawai di Ibu Pejabat yang bertugas menguruskan hal-hal keselamatan serta logistik jabatan demi kepentingan perkhidmatan d MPB dan kumpulan sasar semasa waktu rasmi dan luar waktu rasmi.

ETIKA MEDIA SOSIAL

10.    Di kesempatan ini, saya juga ingin menyampaikan mesej dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan Etika Penggunaan Media Sosial Dalam Sektor Awam sebagai asas dalam penggunaan dan pemantauan media sosial dalam Sektor Awam. Antara perkara-perkara yang ditekankan dalam etika berkenaan adalah seperti yang berikut:

  • Semua pegawai dan kakitangan MPB adalah terikat dengan terma dan syarat yang terkandung dalam arahan-arahan berkaitan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang menjadi teras kepada keperibadian atau tatakelakuan anggota perkhidmatan awam;
  • Prinsip-prinsip penggunaan media sosial oleh pegawai awam sama ada dalam urusan rasmi ataupun peribadi adalah sama seperti yang terpakai bagi media-media yang lain. Media sosial merupakan forum awam di mana prinsip-prinsip yang sama diambil kira sebagaimana pengucapan awam ataupun penulisan secara rasmi atau tidak rasmi;
  • Pegawai awam dilarang menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi semasa waktu pejabat samada menerusi peralatan komputer atau alat mudah alih yang dibekalkan oleh pejabat ataupun melalui peralatan peribadi;
  • Pegawai awam boleh menggunakan media sosial secara peribadi di luar waktu pejabat tetapi perlu berhati-hati supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat rasmi;
  • Pegawai awam dilarang mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti politik kecuali telah mendapatkan kelulusan Ketua Perkhidmatan Awam;
  • Sebarang komen mengenai isu-isu yang melibatkan agensi atau yang berbentuk serangan peribadi hendaklah dielakkan;
  • Ketepatan dan sensitiviti maklumat yang ingin disampaikan hendaklah disemak terlebih dahulu sebelum dihantar;
  • Pegawai awam perlu memastikan perkongsian dan penggunaan maklumat yang berkaitan dengan hak cipta dan harta intelek telah mendapat kebenaran daripada pihak yang berkenaan; dan
  • Sekiranya terdapat kesilapan pada sebarang maklumat yang telah dihebahkan, akui pada umum, buat pembetulan dan mohon maaf kepada pihak yang berkaitan secara terus dalam laman sosial yang terlibat.

RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS (RMK-11)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

11.    Memandangkan kita semakin hampir ke penghujung tahun 2015, saya ingin mengingatkan warga kerja MPB agar mepergiatkan usaha dan meneruskan program dan aktiviti yang sedia ada serta merangka pelan tindakan pelaksanaan aktiviti Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). RMK-11 adalah fasa terakhir pelan hala tuju pembangunan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian, MPB telah mengemukakan cadangan sebanyak 7 projek baru dan 1 projek sambungan bagi Projek Pembangunan RMK-11 berjumlah RM 111.1 juta untuk dilaksanakan dalam tempoh 2016-2020). Projek pembangunan bagi RMK-11 lebih menfokuskan ke arah pembangunan di peringkat huluan dengan mengutamakan pemberian skim dan bantuan kepada pengusaha kebun lada di bawah program Pembangunan Penanaman Lada berjumlah RM47.6 juta. Tidak lupa juga Program R&D&I juga diteruskan dengan peruntukkan RM6.5 juta. Bagi memantapkan lagi pelaksanaan pembangunan, MPB meneruskan projek Pembinaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara dengan kos RM40.9 juta di Semenggok, Sarawak.

12.    Dari aspek kewangan, perolehan bagi peruntukan tahun 2015 mesti dilaksanakan dengan secepat mungkin. Unjuran yang telah disusun atur pada awal tahun perlu diberi komitmen yang sewajarnya dan perlaksanaannya tidak dilengah sehingga menjelang hujung tahun. Sifat berlengah berkenaan akan memberi kesan dari segi prestasi perbelanjaan dan permohonan geran sukuan kita. Ini akan mencerminkan ketidak upayaan pengurusan dalam perlaksanaan perolehan yang telah direncanakan. Setiap Ketua Bahagian / Cawangan / Unit wajib memantau prestasi perbelanjaan masing-masing agar tidak wujudnya amalan melengahkan kerja dalam kalangan warga kerja MPB. Komitmen untuk melaksanakan setiap perolehan mesti diutamakan kerana ianya melibatkan tempoh masa terutamanya bagi perolehan kerja supaya ianya tidak melangkaui ke tahun berikutnya. Peruntukan Dasar One-Off dan lain-lain peruntukan perlu dibelanjakan dalam tahun semasa kerana semua peruntukan ini tidak boleh dibawa ke tahun hadapan.

13.    Untuk makluman semua warga MPB, mulai 1 Oktober 2015, penggunaan “Point Of Sale System”   atau “Cash Register Machine” untuk pengeluaran Tax Invoice adalah mandatori. Bagi tuntutan yang menggunakan panjar wang runcit juga perlu menggunakan resit yang dicetak dengan menggunakan “Cash Register Machine”.

PERSEDIAAN PENUTUPAN AKAUN AKHIR TAHUN

14.    Beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh warga MPB bagi persediaaan untuk penutupan akaun tahun 2015. Antaranya ialah:

i. Pemeriksaan Stok Fizikal (Stock Take) hujung tahun

Jadual perlaksanaannya akan dikeluarkan pada bulan November. Semua Ketua Bahagian perlu mengambil maklum akan tarikh perlaksanaan Stock Take ini agar tiada pertindihan aktiviti / program semasa tarikh pemeriksaan Stok Fizikal nanti. Semua Ketua Pejabat Wilayah dan Cawangan tidak dibenarkan untuk mengambil cuti pada tarikh pemeriksaan stok tersebut.

ii. Tarikh Akhir Jadual Perjalanan Kakitangan dan Sebagainya

Semua Ketua Bahagian/Pejabat Cawangan hendaklah mengatur jadual perjalanan bagi bulan Disember supaya tidak dilakukan pada dua minggu terakhir bulan Disember 2015. Tarikh akhir bagi pengeluaran Waran Perjalanan adalah pada 15 Disember 2015 kecuali bagi perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti luar jangkaan.

iii. Pengembalian Pendahuluan

Semua pendahuluan kakitangan/pelbagai DIWAJIBKAN untuk dikembalikan kepada Bahagian Kewangan sebelum 25 Disember 2015.

iv. Bil-bil / invois-invois perbelanjaan

Semua Ketua Bahagian hendaklah MEMASTIKAN bahawa semua bil/inbois yang sempurna bagi Bahagian masing-masing dikemukakan/diberikan kepada Bahagian Kewangan sebelum 30 Disember 2015.

v. Pengeluaran Pesanan Tempatan (LPO)

Semua Ketua Bahagian hendaklah memastikan bahawa pengeluaran LPO dilakukan/dibuat sebelum 15 Disember 2015.

vi. Penyediaan Laporan Ringkasan Kedudukan Kewangan dan Prestasi Tahunan

Tarikh akhir untuk mengemukakan Laporan Ringkasan Kedudukan Kewangan dan Prestasi Tahun 2015 kepada pihak Kementerian adalah pada 8 Januari 2016. Semua ketua Bahagian/Ketua Pejabat Cawangan dikehendaki untuk memastikan bahawa semua perkara seperti dokumentasi-dokumentasi, pengemaskinian pengrekodan dan sebagainya hendaklah disempurnakan sebelum tarikh seperti yang telah ditetapkan supaya Bahagian Kewangan tidak mengalami kesulitan untuk Penyediaan Laporan Ringkasan Kedudukan Kewangan dan Prestasi Tahunan.

12.    Selain itu, Sasaran Kerja Tahunan (SKT) adalah elemen penting dalam Sistem Penilaian Prestasi pegawai. Penetapan SKT setiap pegawai hendaklah dilaksanakan bersesuaian dengan kompetensi, peranan dan bidang tugas gred jawatan masing-masing. SKT Bahagian/Pejabat Wilayah hendaklah ditetapkan oleh Ketua Bahagian/Pengarah Wilayah masing-masing dengan mengambil kira Key Performance Indicators (KPI) agensi. Bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional (P&P) yang terdiri daripada pegawai dari Gred 41 hingga Gred 54 perlu mempunyai SKT yang seragam dan teratur selaras dengan perancangan kerja tahunan bahagian/cawangan yang telah ditetapkan. Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) Bil. 3 Tahun 2013 telah menetapkan supaya semua pegawai Gred 41 hingga Gred 54 menyediakan dua (2) kertas kerja sebagai SKT masing-masing dan perkara tersebut hendaklah diambil kira semasa penetapan SKT pegawai.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

13. Kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai anugerah atau ganjaran. Melalui Pengiktirafan Dalaman MPB, saya berharap ia dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi. Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan MPB kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh masyarakat, serta menepati kehendak dan ekspektasi mereka. Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.

14.    Suka saya mengingatkan bahawa pemberian anugerah sebegini ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada pegawai dan kakitangan yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang semata-mata. Bahkan dalam skop yang lebih luas lagi, anugerah ini merupakan satu langkah transformasi dalam membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan, penyampaian perkhidmatan Lembaga dan kesukarelawan. Saya yakin, setiap seorang telah memberikan komitmen yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

15.    Justeru itu, Majlis Pengiktirafan Dalaman yang diadakan hari ini adalah khusus bagi mengiktiraf 19 orang warga MPB melalui Anugerah Perkhidmatan Setia, 28 orang warga MPB melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan seorang warga MPB melalui Anugerah Khas iaitu Anugerah Jiwa Murni – Derma Darah. Anugerah Kebersihan dan Keceriaan Pejabat juga diberikan kepada pejabat Bahagian/Cawangan/Unit yang mengamalkan budaya persekitaran yang bersih dan ceria dan Anugerah Inovasi MPB juga turut disampaikan kepada Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) yang telah berjaya memenangi pertandingan KIK peringkat MPB. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua penerima anugerah pada hari ini. Sesungguhnya kejayaan mereka seharusnya dijadikan sebagai pemangkin untuk warga MPB terus berusaha bagi mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

16.    Majlis pada hari ini juga adalah majlis penghargaan kepada warga MPB yang bersara dan bakal bersara pada tahun ini. Penghargaan yang diterima tiada tandingannya dengan jasa dan bakti yang telah ditaburkan sepanjang perkhidmatan, persaraan tuan-tuan dan puan-puan kami iringi dengan doa. Marilah sama-sama kita mendoakan kebahagiaan dan kejayaan rakan-rakan kita yang bakal dan telah memulakan kehidupan baru selepas persaraan serta senantiasa berada dalam keadaan yang sihat.

17.    Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada warga MPB yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Dalaman MPB 2015. Adalah penting setiap komitmen dan pencapaian cemerlang bukan hanya diteruskan malah sentiasa dipertingkatkan, agar dengan kesungguhan berkenaan dapat mendukung usaha ke arah membangunkan industri lada negara. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada jawatankuasa penganjur atas pengisian program yang padat dan bermanfaat kepada warga MPB.

Sekian, terima kasih.