Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TEKS UCAPAN YANG BERBAHAGIA DATO GRUNSIN AYOM KETUA PENGARAH LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN HARI INOVASI 2014 LEMBAGA LADA MALAYSIA PADA SABTU, 24 OKTOBER 2015 DI DAMAI PURI RESORT & SPA, SANTUBONG, SARAWAK

TEKS UCAPAN
YANG BERBAHAGIA DATO GRUNSIN AYOM
KETUA PENGARAH LEMBAGA LADA MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN HARI INOVASI 2014
LEMBAGA LADA MALAYSIA
PADA SABTU, 24 OKTOBER 2015
DI DAMAI PURI RESORT & SPA, SANTUBONG, SARAWAK
 
Terima kasih Pengacara Majlis,         
Yang Berusaha Encik Philip Gaweng,
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan),
Yang Berusaha Encik Vincent Sawat
Pemangku Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia & Pentadbiran Am
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Hari Inovasi 2015
Lembaga Lada Malaysia
Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah,
Semua Ketua Pejabat Wilayah dan Cawangan,
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1Malaysia,
 
Pertamanya, saya ingin mengucapkan syukur kerana kita dapat berkampung sekali lagi pada tahun ini sempena sambutan Hari Inovasi 2015. Pada tahun ini buat pertama kalinya kita mengadakan Hari Inovasi bertempat di Damai Puri, Resort & Spa, Santubong, Sarawak.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatan kuasa Induk dan seluruh warga MPB yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan penganjuran Hari Inovasi pada tahun ini berjalan dengan lancar. Saya difahamkan bahawa seramai 245 orang kakitangan MPB terlibat dengan Hari Inovasi pada kali ini dengan penganjuran pelbagai aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya Hari Inovasi 2015.
Warga MPB yang saya hormati sekalian,

3. Seperti yang kita sedia maklum, Hari Inovasi ini diraikan setiap tahun oleh jabatan/agensi kerajaan sebagai usaha berterusan untuk menerapkan budaya pengurusan kualiti dan kreativiti serta menggalakkan pembudayaan inovasi di kalangan penjawat awam dalam usaha menuju ke arah negara maju dan rakyatnya berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
 
4.      Sambutan Hari Inovasi kita pada tahun ini yang bertemakan “Berinovasi Untuk Transformasi Industri Lada” memberikan pengertian yang sangat signifikan untuk dihayati dan direalisasikan oleh seluruh warga MPB. Tema ini bukan sahaja harus dihayati malah dijadikan sebagai penanda aras bagi warga MPB untuk mentransformasikan sistem perkhidmatan yang sedia ada kepada sistem yang bercorak inovatif dan mesra pelanggan agar kita dapat menjalankan tanggungjawab kita berlandaskan misi dan visi yang telah digariskan tersebut demi pembangunan industri lada kita.
  1. Peningkatan pendapatan: Membantu meningkatkan pendapatan pekebun lada kepada sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan;
  1. Menggalakkan petani menceburi bidang industri hiliran: Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada produk komoditi dipasarkan sebagai barangan diproses;
  1. Peningkatan pengeluaran: Tumpuan kearah memperluaskan kawasan penanaman dan aktiviti penanaman semula serta peningkatan produktiviti;
  1. Pengukuhan kualiti: Menfokuskan ke arah peningkatan pelbagai kaedah dan keupayaan analisis dan meningkatkan pengawasan di peringkat eksport dan ladang; dan
  1. Pembangunan Modal Insan: Menfokuskan kepada pembangunan modal insan kumpulan sasar seperti pekebun, pengusaha kecil dan sederhana serta bumiputera.
PENCAPAIAN MPB
Warga MPB yang saya hormati sekalian,
8. Saya percaya budaya inovasi ini telah lama diterapkan dalam kalangan warga kerja MPB. Perkara ini dibuktikan melalui pencapaian warga kita yang amat membanggakan di peringkat kementerian, negeri mahupun antarabangsa.
9. Setiap tahun MPB tidak pernah pulang dengan tangan kosong dalam pertandingan KIK di peringkat kementerian. Tahniah saya ucapkan kepada Kumpulan ‘Ecospice Solutions’ di atas kejayaan inovasi mereka melalui projek “Masalah Pengeluaran Lada Sepokok yang Rendah” di konvensyen KIK baru-baru ini dengan merangkul tempat kedua bagi kategori pengurusan di pertandingan KIK peringkat kementerian.

10. Saya juga amat berbangga kerana dari hasil pembangunan dan penyelidikan yang telah kita laksanakan, kita telah menempah kejayaan dalam beberapa pertandingan reka cipta dan inovasi iaitu:
1. Pingat Perak – National Innovation & Invention Through Exhibition Competition di Jitra, Kedah pada Mac 2015
2. Pingat Emas – Invention Inovation & Design Exposition 2015 UITM bertempat di Kuala Lumpur pada 27-30 Mei 2015
3. Sagu Hati – Anugerah Harta Intelek Negara di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 10 September 2015
4. Dicalonkan sebagai The Best Industry Project Of the Year di Icheme Malaysia di Le Meridian Hotel, Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2015
5. Dicalonkan sebagai The Best Industry Project of the Year di Icheme Global di Birmingham, United Kingdom pada 5 November 2015

11. Dalam tahun ini, Jawatankuasa Pembangunan & Penyelidikan (R&D) telah meluluskan beberapa projek penyelidikan kerjasama di antara MPB dengan agensi/jabatan kerajaan dan pihak swasta yang dapat memberi impak yang berkesan dan bermanfaat kepada industri lada. Antara projek koloborasi yang sedang diusahakan adalah:
i. Projek kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara MPB dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
ii. Projek kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara MPB dengan Universiti Putra Malaysia (UPM);
iii. Projek kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara MPB dan Bayer (Malaysia) Co. Sdn. Bhd.;
iv. Projek kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara MPB dan Syngenta Crop Production Sdn. Bhd.; dan
v. Projek kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di antara MPB dan Linde Malaysia Sdn. Bhd.;
12. MPB juga dalam proses melesenkan patent baja biokimia MPB kepada All Cosmos Industries Sdn. Bhd. Bagi memastikan krediviti MPB terjamin dengan penghasilan baja yang seragam dan berkualiti agar selaras dengan Dasar Pengkomersilan Intellectual Properties (IP) Malaysia.
13. Dalam usaha memastikan perkhidmatan MPB dan kualiti produk lada memenuhi piawaian tempatan dan antarabangsa, pengekalan akreditasi ISO dan pengiktirafan yang sedia ada sentiasa berada di barisan hadapan rancangan strategik MPB. Antaranya akreditasi ISO dan pengiktirafan yang saya maksudkan ialah:
1.  Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005 Makmal MPB bagi skop Mekanikal dan Mikrobiologikal
2. Akreditasi MS ISO 9001:2008 bagi Aktiviti Pembelian Lada Setempat
3. Akreditasi MS ISO 9001:2008 bagi Perkhidmatan Penggredan dan Pensijilan Lada
4. Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP)
5. Pengiktirafan Geographical Indication (GI) bagi jenama Lada Sarawak
6. Pensijilan HALAL

14. Sasaran MPB pada tahun ini adalah dengan memperluaskan skop Akreditasi MS ISO/IEC 17025:2005 Makmal MPB bagi skop Mekanikal ke MPB Cawangan Sibu dan Akreditasi MS ISO 9001:2008 bagi Aktiviti Pembelian Lada Setempat juga turut diperluaskan ke MPB Cawangan Serian. Harapan saya agar pada tahun depan, Loji Pensterilan Lada di MPB Cawangan Sibu juga turut medapat pensijilan HACCP.

15. Saya juga difahamkan bahawa MPB Pejabat Cawangan Miri telah mula menggunakan aplikasi smartphone mudah alih sebagai pengganti kepada projektor bagi memberi penerangan berkaitan kaedah penanaman dan penyelenggaraan pokok lada kepada pekebun kecil. Walaupun nampak ringkas tetapi ia adalah salah satu inovasi dalam sistem penyampaian yang memberi impak kepada aktiviti pengembangan.

16. Kejayaan warga MPB bukan sahaja dilihat dari aspek pencapaian inovasinya malah warga kita juga turut diiktiraf melalui semangat kesukarelawan dan kerjasama yang utuh dalam membantu kerajaan negeri. Ini telah dibuktikan melalui pengurniaan Darjah Bintang Sultan Ismail (B.S.I) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor bagi Pingat Perak kepada Encik Langgi Chaling, Pengarah Wilayah MPB Semenanjung Malaysia dan Pingat Gangsa kepada Encik Noor Azmie Abdul Razak baru-baru ini atas komitmen dan sumbangan MPB Wilayah Semenanjung Malaysia terhadap kerajaan negeri Johor.

17. Bukan sahaja itu, bahkan pengiktirafan juga turut diberi kepada saudara kita Encik Jong Chian Lai di atas kecemerlangan beliau sebagai penulis kreatif di peringkat negeri, kebangsaan dan ASEAN. Mula berkarya pada usia 18 tahun, prinsip dan perjuangan penulisan beliau yang jelas dan sumbangan karya sastera bermutu tinggi sejak 25 tahun lalu telah melayakkan beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak 2014. Sekali lagi, syabas dan tahniah kepada warga kita yang telah mengharumkan nama MPB di mata negara dan dunia.

Warga MPB yang saya hormati sekalian,
 
18. Kejayaan kita dalam berinovasi ini menunjukkan MPB sentiasa peka kepada keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dengan peredaran zaman. Ingin saya memetik ucapan daripada Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia semasa merasmikan minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Pengangkutan Negeri Sarawak baru-baru ini mengatakan bahawa kejayaan yang dicapai oleh penjawat awam bukan hanya diukur dari penggunaan dan peralatan yang canggih semata-mata, tetapi haruslah disertai dengan budaya, nilai dan keikhlasan dalam menyampaikan sesuatu perkhidmatan kepada pelanggan. Matlamat utama kita sepertimana yang dinyatakan dalam Public Service Transformation Framework ialah untuk mewujudkan budaya berprestasi tinggi, dinamik dan perkhidmatan yang berteraskan pelanggan. Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang kita mesti laksanakan dengan penuh tekad dan komitmen bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kita terus relevan untuk industri lada khasnya dan negara amnya.

19. Adalah penting bagi kita semua selaku jentera kerajaan untuk mempergiatkan usaha-usaha ke arah membudayakan inovasi dan menerapkan nilai integriti dalam tugas seharian kita. Dalam melaksanakan tugas, kita perlu mempunyai sifat amanah, boleh dipercayai, jujur, taat dan mempunyai sifat-sifat keperibadian yang teguh dengan menjauhkan diri dari amalan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Segala tugas dan tanggungjawab hendaklah dilaksanakan berdasarkan prosedur, peraturan dan undang-undang seperti yang telah termaktub.

20. Oleh yang demikian, saya menyeru supaya warga MPB sentiasa berfikiran kreatif, berinovatif dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan berteraskan elemen ketelusan, akauntabiliti, keadilan, kecekapan dan keberkesanan serta menjadikan kita sentiasa relevan dalam memberi perkhidmatan bagi merealisasikan agenda transformasi negara amnya dan industri lada khasnya. Budaya inovasi harus disemai dalam diri setiap warga kerja MPB dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat atasan dalam semua urusan harian agar warga MPB terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran yang akan datang. Semailah budaya inovasi dalam diri anda semua sehingga menjadi amalan agar lahirnya lebih ramai generasi MPB yang mampu menyumbang idea kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan juga kualiti perkhidmatan MPB. Sebagai contoh semasa aktiviti berkumpulan seperti Teambuilding nanti, kekuatan kumpulan bukan sahaja terletak pada ahlinya namun ia memerlukan pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan pelbagai cabaran.

21. Akhir kata, kepada seluruh ahli Jawatankuasa Kerja dan pihak Urusetia majlis penganjuran Hari Inovasi 2015, saya ingin rakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah di atas pencapaian dan kejayaan ini.

22. Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Inovasi MPB bagi Tahun 2015.