Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TEKS UCAPAN YB DATO' HENRY SUM AGONG SEMPENA MAJLIS RAMAH TAMAH MPB 2016

TEKS UCAPAN
 
YB DATO’ HENRY SUM AGONG
TIMBALAN MENTERI
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN (KPDNKK)
SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN DAN RAMAH TAMAH AIDILFITRI MPB 2016
DI HOTEL IMPERIAL, KUCHING
PADA 29 JULAI 2016 (JUMAAT)
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia
  1. Ahli Lembaga Pengarah
Lembaga Lada Malaysia
Mantan Ketua Pengarah
Lembaga Lada Malaysia
  1. Yang Berusaha Encik Philip Gaweng
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
Lembaga Lada Malaysia
  1. Pengarah – pengarah Kanan, Pengarah – Pengarah Wilayah, Ketua Pejabat Cawangan serta warga kerja Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang dihormati sekalian.
  1. Saya amat bertuah pada kali ini kerana sekali lagi telah diberi kesempatan untuk bersama warga MPB yang datang dari pelosok bahagian bagi meraikan Majlis Penghargaan dan Ramah Tamah Aidilfitiri MPB 2016 di Hotel Imperial yang tersergam indah ini.
  1. Malam ini saya tidak berhasrat untuk berucap panjang kerana bagi saya Majlis Ramah Tamah seharusnya lebih santai dan relaks memandangkan rata – rata antara kita masih lagi dalam mood perayaan. Oleh itu, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga MPB yang merayakannya.
YBhg. Dato/Datu serta hadirin yang dihormati sekalian.
  1. Menyingkap kembali perjalanan saya sepanjang bersama MPB selama 2 tahun lebih. Saya mula dilantik menjadi Pengerusi MPB pada 1 Julai 2013 untuk tempoh selama 2 tahun sebelum diperbaharui semula pada 1 Julai 2015. Pelbagai perkembangan dan peningkatan yang telah berlaku dalam MPB sama ada perkembangan dari aspek infrastruktur dan fizikal mahupun perkembangan dari segi pencapaian serta pengiktirafan yang telah dirangkul oleh MPB.
  1. Tidak dinafikan bahawa setiap kejayaan yang dirangkul tersebut bukan hanya kerana usaha sebelah pihak sahaja, sebaliknya ia merupakan hasil daripada gabungan tenaga, usaha dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi diberikan oleh seluruh warga kerja tanpa mengira yang telah bersara atau yang masih berkhidmat dalam MPB. Bagi saya, setiap pegawai dan kakitangan MPB mempunyai sumbangan masing – masing yang tidak dapat kita pertikaikan.
  1. Kini, apabila saya telah diberikan kepercayaan untuk memegang portfolio dalam kabinet persekutuan, ia menunjukkan bahawa kredibiliti dan kewibawaan kita sebagai rakyat Sarawak adalah tidak terbatas. Bukan jawatan atau nama yang harus kita kejar, tetapi sebaliknya kita perlu menitikberatkan soal tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah kita diberikan kepercayaan tersebut.
YBhg. Dato/Datu serta hadirin yang dihormati sekalian.
  1. Oleh itu, dengan kesempatan yang ada sekarang, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli – ahli Lembaga Pengarah MPB termasuklah YBhg. Dato Grunsin Ayom selaku mantan Ketua Pengarah MPB yang selama ini sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah MPB.
  1. Disamping itu, terima kasih diucapkan juga kepada warga kerja MPB serta penyokong atau pengundi di kawasan Parlimen saya iaitu P222 Lawas. Sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada anda semua sepanjang penglibatan saya dalam politik amat saya hargai. Saya bersyukur dan merasa bertuah kerana di belakang saya sentiasa ada mereka yang ikhlas dan jujur untuk berkhidmat bersama – sama saya.
  1. Saya difahamkan bahawa pada malam ini juga turut diadakan Majlis Pengiktirafan Dalaman MPB untuk beberapa orang pegawai dan kakitangan MPB yang layak menerimanya. Setinggi – tinggi tahniah saya ucapkan kepada bakal penerima anugerah tersebut sebentar lagi. Teruskan prestasi cemerlang anda kerana anda merupakan contoh kepada warga kerja MPB yang lain supaya mereka menggandakan usaha bukan sahaja demi kelangsungan kerjaya masing – masing, tetapi juga demi kecemerlangan agensi.
Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kerja MPB serta Ahli Lembaga Pengarah MPB yang sentiasa bersama saya dalam usaha memartabatkan agensi sekaligus industri komoditi lada secara keseluruhannya. Saya berharap agar MPB akan meneruskan kesinambungan sebagai agensi peneraju utama komoditi lada di negara ini.
Selamat berjaya dan semoga kita bertemu lagi di masa hadapan.
Sekian, terima kasih.
 
YB DATO’ HENRY SUM AGONG
TIMBALAN MENTERI
KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI,
KOPERASI & KEPENGGUNAAN MALAYSIA
29 JULAI 2016