Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI LAWATAN KE LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB)

KENYATAAN MEDIA YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI LAWATAN KE LEMBAGA LADA MALAYSIA (MPB)
SELASA, 16 OGOS 2016

1. Pada pagi ini saya telah mengadakan satu lawatan kerja ke Lembaga Lada Malaysia (MPB), Kuching dan meninjau beberapa kemudahan yang digunakan oleh pihak MPB. Saya juga mendengar taklimat mengenai aktiviti dan perkembangan industri lada daripada pihak MPB. Program ini merupakan siri lawatan kerja saya kepada agensi-agensi di bawah MPIC.

2. Di samping itu, saya juga merasmikan Makmal Analisis Pusat MPB yang merupakan salah satu projek pembangunan di bawah RMKe-10. Makmal ini dibina bertujuan untuk membangunkan peraturan dan piawaian makanan berkaitan lada yang diguna pakai oleh industri lada Malaysia dan memastikan lada yang dieksport mematuhi spesifikasi kebangsaan dan antarabangsa. Makmal Analisis Pusat ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti analisis fizikal, mikrobiologikal dan kimia, termasuk sisa baki racun makhluk perosak, mikotoksin dan logam berat.

3. Selain itu, saya turut menyampaikan surat pelantikan kepada Ketua Pengarah MPB yang baru iaitu Dr Harry Anak Entebang yang sebelum ini bertugas di UNIMAS.

4. Untuk makluman, tanaman lada di Malaysia diusahakan oleh kira-kira 67,171 orang pekebun kecil lada yang mana 90 peratus daripadanya adalah merupakan Bumiputera. Sehingga 2015, seluas 16,333 hektar kawasan telah ditanam dengan tanaman lada berbanding 16,021 hektar pada tahun 2014 yang melibatkan 16,092 hektar di Sarawak, 36 hektar di Sabah dan 205 hektar di Semenanjung Malaysia. 98 peratus daripada kawasan tanaman tersebut tertumpu di Negeri Sarawak yang keseluruhannya diusahakan oleh pekebun kecil. Jumlah pengeluaran lada Malaysia bagi tahun 2015 adalah sebanyak 28,300 tan metrik iaitu peningkatan sebanyak 800 tan metrik atau 2.9 peratus berbanding dengan tahun 2014. Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar dunia selepas Vietnam (130,000 tan metrik), Indonesia (71,500 tan metrik), India (65,000 tan metrik) dan Brazil (41,500 tan metrik).

5. Pada tahun 2015, jumlah eksport lada adalah sebanyak 13,624 metrik tan yang bernilai RM513.9 juta di mana Jepun merupakan destinasi eksport utama iaitu sebanyak 24.3% atau RM151.1 juta. Destinasi utama lain bagi eksport lada Malaysia ialah ke negara China, Taiwan, Singapura, Eropah Barat dan Korea Selatan.

6. Selain itu, nilai eksport ini adalah peningkatan sebanyak 27% daripada RM404.6 juta yang direkodkan pada tahun 2014. Purata harga tahunan lada hitam dan putih adalah stabil dan tertinggi yang pernah direkodkan iaitu masing-masing pada paras RM28,031 dan RM43,784 se tan. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi 16 Ogos 2016