Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TALKING POINTS KETUA PENGARAH LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN MPB BIL 5/2016

5 DISEMBER 2016
 
Yang Berusaha Encik Philip Gaweng
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan)
Lembaga Lada Malaysia
 
Yang Berusaha Encik Othman Sajili
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Lembaga Lada Malaysia
 
Encik Larry Sait Muling
Pegawai Tugas Khas Lembaga Lada Malaysia
 
Pengarah – Pengarah Kanan, Pengarah – Pengarah, Ketua – Ketua Bahagian, serta;
Warga Kerja Lembaga Lada Malaysia yang dihormati sekalian.
Selamat Pagi, Salam Perpaduan dan Salam Sehati Sejiwa MPB. Bersyukur kita pada hari ini kerana sekali lagi telah diberikan peluang dan diizinkan oleh Tuhan untuk berkumpul dan berhimpun bersama di pagi yang mulia ini.
Terima kasih juga di atas kehadiran penuh dan komitmen jitu tuan dan puan sekalian dalam menghadirkan diri ke sesi Perhimpunan Bulanan MPB Bil 5/2016 yang turut merupakan sesi perhimpunan yang terakhir bagi tahun 2016.
Tanpa kita sedari, sekarang kita telah berada di Bulan Disember dan semakin menghampiri penghujung tahun 2016. Sudahkah anda semua atau lebih tepat lagi kita semua bersedia untuk melangkah ke tahun baharu yang lebih mencabar dan sukar untuk diduga? Adakah asas yang kita ada pada masa sekarang sudah cukup kukuh untuk mendepani tuntutan ekonomi dunia yang semakin kritikal? Sementara saya memberikan anda semua peluang untuk mencarikan jawapan kepada persoalan tadi, izinkan saya untuk merujuk kepada beberapa peringatan yang dikeluarkan oleh MPIC.
 
1.         PERINTAH TAHAN KERJA DAN GANTUNG KERJA
 
1.1 Seperti yang tuan/puan sedia maklum, semenjak kebelakangan ini semakin kerap kita mendengar berita – berita di media cetak dan elektronik berkenaan penahanan sebilangan pegawai – pegawai awam oleh pihak berkuasa kerana terlibat dengan jenayah salah guna kuasa dan rasuah yang serius.
1.2       Dengan merujuk kepada surat daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan), YBhg. Tuan Toisin Gantor, maka pegawai yang disyaki tersebut boleh dikenakan perintah tahan kerja bagi maksud siasatan di bawah peraturan 43 Peraturan – peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993]
1.3       Namun begitu, masih terdapat Ketua – ketua Jabatan yang gagal membuat pengesyoran perintah – perintah berkenaan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib.
1.4       Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui suratnya bertarikh 28 Oktober 2016 telah mengingatkan Ketua Jabatan supaya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pegawai yang disyaki melakukan kesalahan jenayah atau kesalahan tatatertib yang serius.
1.5       Dalam hal ini, Pihak Berkuasa Tatatertib yang mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau diturunkan pangkat hendaklah dirujuk untuk membuat keputusan menahan kerja pegawai itu sehingga kes tersebut selesai. Namun begitu, Pihak Berkuasa Tatatertib boleh memanggil semula pegawai tersebut untuk bertugas dalam tempoh tahan kerja tersebut sekiranya diperlukan untuk berbuat demikian.
1.6       Justeru, saya menyeru kepada seluruh warga MPB supaya menjauhi perkara – perkara atau kelakuan yang boleh mendatangkan imej buruk kepada organisasi dan menjadikan kes – kes negatif tersebut sebagai peringatan dalam kehidupan dan pekerjaan kita.
 
2.         KENYATAAN MEDIA KSN BERKENAAN PEMBERHENTIAN PENGELUARAN AMARAN PENTADBIRAN – BERNAMA, 20 NOVEMBER 2016
 
2.1       KSN melalui kenyatan beliau telah menegaskan bahawa menghukum penjawat awam atas kesalahan disiplin yang dilakukan dengan hanya mengeluarkan amaran pentadbiran kepada mereka perlu dihentikan kerana hukuman tersebut adalah terlalu ringan dan tidak mencerminkan aspirasi kerajaan untuk memastikan agar semua kakitangan kerajaan membersihkan perbuatan negatif yang mungkin memberi kesan kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat.
2.2       Beliau berkata Amaran Pentadbiran merupakan amaran tanpa rekod, yakni penjawat awam yang bersalah tersebuttidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa tindakan yang telah dilakukan. Justeru, apabila penjawat awam melakukan kesalahan, mereka perlu diberi amaran serta tindakan tatatertib perlu diambil seperti pemotongan gaji, tiada kenaikan pangkat atau dipecat.
2.3       Tambah beliau, ramai ketua-ketua jabatan hanya mengeluarkan amaran pentadbiran untuk kakitangan mereka yang telah melakukan kesalahan tatatertib kerana mereka mahu menjadi ketua yang baik kepada pekerja mereka di bawah mereka. Namun begitu, ia tetap merupakan tindakan yang salah.
2.4       Oleh itu, jika seseorang pekerja hanya diberi amaran disiplin, maka mereka boleh disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dihukum atas kesalahan yang dilakukan. Pekeliling kepada Ketua – ketua Jabatan akan dikeluarkan selepas ini supaya Ketua – ketua dapat mengelakkan diri daripada mengeluarkan amaran pentadbiran sahaja ke atas salah laku disiplin oleh penajwat awam.
3.         PEMECATAN PENJAWAT AWAM YANG TERLIBAT DALAM PERHIMPUNAN HARAM
3.1       KSN menegaskan bahawa penjawat awam adalah diingatkan supaya tidak terlibat sama sekali di dalam aktiviti – aktiviti perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sepertimana yang telah berlaku pada bulan lepas.
3.2       Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang ditemui dan dikenalpasti berada di dalam gambar – gambar perhimpunan yang disiarkan oleh media. Tindakan disiplin termasuklah pemotongan gaji atau pemecatan akan dikenakan terhadap penjawat awam terbabit bergantung kepada tahap penyertaan mereka.
3.3       Oleh itu, beliau menyeru kepada semua penjawat awam untuk menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti – aktiviti perhimpunan haram yang bersifat provokasi sehingga boleh menjejaskan imej organisasi sekaligus melunturkan keyakinan orang luar terhadap organisasi.
 
4.         EKSTRAK UCAPAN KSN SEMPENA KONVENSYEN INTEGRITI NASIONAL 2016 (KIN 2016)
 
4.1       Tanggal 17 November 2016 yang lepas telah berlangsungnya Konvensyen Integriti Nasional 2016 (KIN 2016) yang bertemakan “Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Berprestasi Dan Berintegriti Tinggi” yang telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
4.2       Dalam ucapan perasmian tersebut, beliau turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap pertambahan bilangan kes penyelewengan dalam kalangan penjawat awam sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam sekaligus mewujudkan kekhuatiran dalam kalangan rakyat terhadap keupayaan penjawat awam menjalankan tugas dengan bertunjangkan integriti.
4.3       Oleh itu, beliau berpendapat bahawa terdapat tiga (3) perkara utama yang perlu ditangani dalam mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dan berintegriti iaitu:-
  1. pengurangan karenah birokrasi;
  2. peningkatan kecekapan pelaksanaan projek-projek kerajaan, dan;
  3. mengekalkan penjawat awam berprestasi tinggi dalam sektor perkhidmatan awam.
4.4       Beliau menambah bahawa fungsi dan peranan Unit Integriti di setiap kementerian dan agensi perlu dilihat semula daripada segi keberkesanan mencegah ketirisan dan penyelewengan daripada berlaku.
4.5       Di peringkat MPB, penubuhan Unit Integriti merupakan satu langkah proaktif untuk menangani isu integriti dalam kalangan penjawat awam, yakni pegawai dan kakitangan MPB. Oleh itu, adalah disarankan agar semua Ketua Unit Integriti merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN) dalam merancang dan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan integriti. Diharapkan agar semua kakitangan MPB akan terus menjunjung tinggi amanah yang telah diberikan kepada kita.
 
5.         IMBASAN RUMUSAN BENGKEL SEMAKAN HALA TUJU MPB 2017
 
5.1       Seperti tuan/puan sedia maklum, pada 30 November dan 1 Disember yang lepas, MPB telah menganjurkan Bengkel Semakan Hala Tuju MPB yang telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Seminar Intan Kampus Sarawak.
5.2       Dalam ucapan saya pada hari tersebut, saya telah menyatakan dengan jelasnya berkenaan keadaan ekonomi semasa yang semakin tidak dapat diduga. Dalam menghadapi pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dalam ekonomi negara pada masa kini, kita haruslah sentiasa bersiap siaga dengan pelan strategik yang holistik dan berkesan.
5.3       Pengurangan peruntukan oleh Kerajaan yang diberikan kepada MPB bagi tahun 2017 seharusnya tidak menjadi penghalang buat kita semua untuk terus melaksanakan setiap projek dan tanggungjawab untuk tahun hadapan pada tahap yang maksima.
5.4       Oleh sebab itu, semua Ketua Bahagian adalah sekali lagi telah diingatkan untuk merangka pelan serta merencanakan setiap aktiviti pada tahun hadapan dan diwajibkan untuk mengikut jadual perancangan tersebut bagi mengelakkan sebarang masalah kelewatan penyempurnaan projek atau aktiviti sekaligus memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan adalah bernilai.
5.5       Oleh itu, sebagai merujuk kepada persoalan yang saya utarakan pada awal ucapan tadi, sejauhmanakah tahap ketersediaan kita dalam menghadapi tahun baharu kelak? Jawapannya adalah bergantung kepada asas yang telah kita bina pada masa ini.
5.6       Semenjak pelantikan saya sebagai Ketua Pengarah MPB berkuatkuasa pada 16 Ogos 2016 yang lepas, saya telah menetapkan sasaran yang tinggi terhadap MPB kerana saya percaya dan yakin bahawa masih banyak potensi organisasi yang belum diteroka. Besarlah juga harapan saya untuk melihat MPB memintas kedudukan negara – negara pengeluar utama lada dunia yang ada pada masa sekarang.
5.7       Justeru, bagi merealisasikan sasaran tersebut, MPB haruslah jelas akan visi dan misi serta matlamat sebenar akan kewujudan MPB seperti pada hari ini. Perubahan yang dilakukan juga seharusnya bukan sekadar perubahan dari aspek penggalakkan aktiviti core business MPB, tetapi juga perubahan harus berlaku dari segi pengurusan dalaman MPB serta pemupukan sikap yang positif dalam kakitangan MPB kerana “it is important for us to win the battle in mind first before winning the physical battle”.
 
PENUTUP
 
Sebelum mengakhiri ucapan, di sini saya turut ingin mengucapkan tahniah kepada pegawai dan kakitangan MPB yang telah mengharumkan nama agensi. Antaranya :-
 
  AKTIVITI TARIKH DILAKSANAKAN PENERIMA
 

Sijil Penyertaan dalam Mesyuarat Penilaian Risiko Rasuah (CRM) Agensi & Bengkel Retreat Unit Intergriti anjuran MPIC

Tempat : Akademi Hevea Malaysia (LGM)

24 – 26 Ogos 2016 Encik Apoi Wan
  Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada para pegawai penyelidik serta kakitangan yang terlibat dalam Projek Pembangunan Aplikasi Penasihatan Mudah Alih Bagi Tanaman Lada (DR.LADA) hasil kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Diharapkan semoga sumbangan dan penyertaan sebegini akan dapat diteruskan di masa akan datang.
 
Akhir kata, semoga perancangan dan langkah baik kita kea rah memartabatkan MPB akan sentiasa dipermudahkan dan diberkati oleh Tuhan kerana saya percaya bahawa setiap niat baik dalam melaksanakan sesuatu amanah yang diberikan pasti akan mendapat keredhaan Yang Maha Esa.
Sekian, terima kasih.
 
Ketua Pengarah
Lembaga Lada Malaysia
5 Disember 2016