Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN PERASMIAN YB DATUK AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK – MENTERI PEMODENAN PERTANIAN, TANAH ADAT DAN PEMBANGUNAN WILAYAH SARAWAK SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA” PERINGKAT BAHAGIAN BETONG

UCAPAN PERASMIAN
YB DATUK AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS
TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK – MENTERI PEMODENAN PERTANIAN, TANAH ADAT DAN PEMBANGUNAN WILAYAH SARAWAK
 
SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA”
PERINGKAT BAHAGIAN BETONG
 
DI DEWAN SUKAN TAN SRI DATUK AMAR STEPHEN KALONG NINGKAN
 

26 JULAI 2017 (RABU)

 
YBhg. Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu ak Numpang
Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Sarawak
 
YB Datuk Haji Abdul Wahab bin Aziz
ADUN N.38 Kalaka
 
YB Encik Ricky @ Muhammad Razi bin Sitam
ADUN N.35 Saribas
 
YB Encik Gerald Rentap Jabu
ADUN N.36 Layar
 
YBrs. Encik Friday ak Belik
Residen Bahagian
Pejabat Residen Bahagian Betong
 
YBrs. Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
Ketua-Ketua Jabatan / Ketua-Ketua Masyarakat / Tuan-Tuan / Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian.
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang berjaya menganjurkan Program Jelajah Sarawak “Jom Tanam Lada” Peringkat Bahagian Betong pada hari ini setelah pelancaran program seumpamanya diadakan buat julung kalinya di Dewan Suarah Sri Aman pada 30 Mac 2017 yang lalu. Saya turut difahamkan bahawa program yang diadakan di Sri Aman telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan dengan kehadiran pengunjung yang dianggarkan seramai 2,000 orang.
 
Maka, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Program Jom Tanam Lada ini telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang mempunyai hasrat untuk menceburi dan mendalami bidang penanaman lada. Sesungguhnya inisiatif sebegini wajar diteruskan bagi memperkenal dan mempromosikan tanaman lada ke seluruh pelosok negara terutamanya di Sarawak sekaligus merancakkan lagi aktiviti penanaman lada di negara kita.
 
YBhg. Datuk Patinggi / Yang Berhormat-Yang Berhormat / Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian,
 
  • Tidak dinafikan bahawa komoditi lada telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan telah memberikan sumbangan penting khususnya kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar lantaran menyediakan peluang pekerjaan terutamanya di Sarawak sejak beberapa tahun yang lalu. Di sebalik ketidaktentuan ekonomi yang berlaku mutakhir ini, ia tidak menjadi penghalang kepada industri lada untuk terus menyumbang kepada pendapatan eksport negara setiap tahun.
  • Sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara adalah seiring dengan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang dirangka secara khusus bagi memperkukuhkan peranan dan sumbangan industri komoditi perladangan kepada ekonomi negara. Di bawah dasar ini terdapat lima (5) matlamat utama yang telah digariskan khusus untuk pembangunan industri lada negara, iaitu
 
  1. Meningkatkan pengeluaran dan daya saing pengeluaran lada;
  2. Memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D);
  3. Mengukuhkan pendapatan pekebun kecil;
  4. Memperluas pasaran; serta
  5. Memperkasa modal insan.
 
Kesemua matlamat ini sentiasa menjadi panduan dan rujukan oleh MPB dari masa ke masa dalam setiap operasi harian agar matlamat dan aspirasi MPB yang telah ditetapkan dapat direalisasikan dengan jayanya.
 
YBhg. Datuk Patinggi / Yang Berhormat-Yang Berhormat / Tuan-tuan / Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian,
 
  • Untuk makluman, jumlah eksport lada yang dicatatkan pada tahun 2016 adalah sebanyak 12,199 tan metrik dengan nilai eksport berjumlah RM490 juta. Jumlah ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 4.6 % daripada nilai eksport pada tahun 2015 yang bernilai RM514 juta ekoran daripada pengeluaran yang sangat tinggi oleh negara Vietnam. Destinasi eksport lada negara utama pada masa kini adalah negara Jepun dengan nilai eksport berjumlah RM143 juta pada tahun yang sama dicatatkan. Destinasi eksport yang lain termasuklah Korea Selatan,Taiwan, Singapura, dan China.
  • Sementara itu, pengeluar lada utama dunia pada tahun 2016 telah dipelopori oleh negara Vietnam dengan jumlah pengeluaran sebanyak 140,000 tan metrik, kemudian diikuti dengan Indonesia (70,000 tan metrik), India (48,500 tan metrik) dan Brazil (45,000 tan metrik).Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga kelima (5) dengan jumlah pengeluaran pada tahun 2016 dianggarkan sebanyak 29,245 tan metrik, iaitu peningkatan sebanyak 3.3% berbanding pada tahun 2015 yang berjumlah 28,300 tan metrik.
  • Di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan telah mewujudkan Skim Tanaman Baharu Lada untuk membantu pekebun membangunkan kebun baharu lada mereka dengan penyaluran input pertanian seperti baja, dolomitedan insentif untuk tiang sokongan dan keratan lada.
  • Pada tahun 2017, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.2 juta di bawah Skim Tanaman Baharu Lada bagi membantu seramai 3,100 orang pekebun di Malaysia dengan keluasan tanaman berjumlah 310 hektar. Daripada jumlah peruntukan dari Kerajaan Pusat tersebut, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah diperuntukkan sejumlah RM5.6 juta untuk membantu seramai 2,820 orang pekebun yang melibatkan kawasan penanaman seluas 282 hektar.
  • Daripada jumlah yang diperuntukkan kepada Negeri Sarawak pada tahun 2017, Bahagian Betong telah diperuntukkan RM1.08 juta untuk membantu seramai 570 orang pekebun untuk membangunkan seluas 57 hektar tanaman baharu lada.
  • Selain itu, Kerajaan Negeri Sarawak turut menyumbang dana untuk memabntu para pekebun lada dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dalam tahun 2017 untuk membangunkan kawasan tanaman lada seluas 500 hektar yang melibatkan seramai 5,000 orang pekebun.
  • Oleh itu, saya juga menyeru agar MPB terus berusaha dengan gigih sewaktu melaksanakan fungsi dan peranan MPB dengan menerapkan nilai – nilai keusahawanan korporat di dalam setiap rantaian perniagaannya.
 
YBhg. Datuk Patinggi / Yang Berhormat-Yang Berhormat / Tuan-Tuan / Puan – Puan serta hadirin yang dihormati sekalian,
 
  • Saya sedar bahawa harga komoditi lada telah mengalami keadaan turun naik yang agak ketara semenjak beberapa bulan yang lepas dan yang terkini, saya difahamkan bahawa harga lada berada pada paras RM11,763 per tan metrik untuk lada hitam manakala harga lada putih pula adalah sekitar RM21,215 per tan metrik ekoran daripada stok komoditi lada di negara Vietnam dan Indonesia yang banyak sekaligus mendominasi pasaran global.
  • Fenomena ketidaktentuan harga lada ini sebenarnya turut berlaku terhadap komoditi – komoditi yang lain memandangkan ia dipengaruhi oleh kuasa permintaan dan penawaran di peringkat global. Namun begitu, saya berharap agar pekebun lada terus menjaga kebun mereka dengan baik untuk menghasilkan lada berkualiti bagi tujuan eksport kerana ia mampu meraih harga yang lebih baik serta kompetitif di pasaran global di samping memberi peluang kepada industri lada untuk terus membangunkan aktiviti hilirannya. Untuk memastikan kebolehpasaran “Sarawak Pepper”, maka mempraktikan Amalan Pertanian Baik (GAP) di peringkat huluan dan Amalan Pengilangan Baik di peringkat hiliran tidak boleh lagi dianggap sebagai satu pilihan namun ia merupakan satu langkah ke depan yang perlu dilaksanakan oleh penggiat industri lada. Dengan ini, saya menggesa MPB agar terus membeli lada berkualiti daripada pekebun lada berdasarkan gred yang telah ditetapkan sahaja. Ini adalah untuk memastikan kualiti “Sarawak Pepper” terus dikekalkan.
  • Sehubungan itu, sebagai langkah membantu para pekebun untuk meneruskan aktiviti mereka ketika pasaran lada menghadapi saat yang meruncing, maka disarankan supaya MPB perlu mewujudkan satu mekanisme yang dikenali sebagai social safety net, sepertimana yang telah dilakukan bagi komoditi getah.
  • Saya juga mencadangkan agar MPB mempertingkatkan usaha mempromosikan Lada Sarawak di persada antarabangsa supaya permintaan terhadapnya turut meningkat. Misalnya, Lada Sarawak boleh dieksport dengan menggunakan nama baharu seperti “Sarawak Natives Pepper”. Dengan pendekatan ini kita mungkin dapat menarik minat ramai orang di negara luar yang prihatin akan kaum pribumi. Saya percaya pendekatan sebegini sudah tentu menguntungkan negara kita khasnya para pekebun lada di Sarawak.
  • Usaha-usaha seperti ini juga selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Sarawak dalam membangunkan ekonomi luar bandar dengan mempergiatkan aktiviti pertanian sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar.
 
YBhg. Datuk Patinggi / Yang Berhormat-Yang Berhormat / Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian,
 
  • Tidak dapat dinafikan bahawa pekebun kecil merupakan nadi yang terpenting dalam rantaian pengeluaran lada negara. Rasai dan selamilah denyut nadi rakyat melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan agar kebajikan pekebun kecil lada ini tidak terpinggir dan sentiasa mendapat perhatian yang sewajarnya.
  • Bagi industri lada, tumpuan yang diberikan adalah tidak kurang berbeza berbanding dengan sektor komoditi yang lain, yakni fokus pada masa kini adalah kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan inovasi dalam pembangunan produk nilai tambah serta isu-isu alam sekitar yang sentiasa menjadi perdebatan di pelbagai peringkat. Pendek kata, seluruh aspek MPB daripada pengurusan, penyelidikan, pemasaran, penguatkuasaan dan teknologi akan dipertingkatkan dan diperkukuh bagi mencapai sasaran ini.
  • Akhir kata, saya amat tertarik dengan cogan kata “Penanaman dan Pengeluaran Lada Adalah Satu Perniagaan” atau “Betanam Sereta Ngeluar Ka Asil Lada Sebengkah Ari Pengawa Dagang” oleh MPB telah membawa kita ke arah paradigma yang baru ke atas industri lada negara. Semoga program jelajah seperti ini dapat diteruskan serta diperluaskan oleh MPB ke seluruh Negeri Sarawak agar masyarakat dapat memahami dengan lebih mendalam tentang fungsi, peranan serta inisiatif MPB dalam membantu masyarakat yang berminat untuk menceburi bidang penanaman lada dengan lebih giat lagi.
 
Maka, di sini dengan penuh lafaz kesyukuran saya merasmikan Program Jelajah Sarawak – “Jom Tanam Lada Peringkat Bahagian Betong Tahun 2017”. Sekian, terima kasih.
 
Timbalan Ketua Menteri Sarawak
26 Julai 2017