Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

KENYATAAN MEDIA YB DATU AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK – MENTERI PEMODENAN PERTANIAN, TANAH ADAT DAN PEMBANGUNAN WILAYAH SARAWAK SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA” PERINGKAT BAHAGIAN BETONG

KENYATAAN MEDIA
YB DATU AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS
TIMBALAN KETUA MENTERI SARAWAK – MENTERI PEMODENAN PERTANIAN, TANAH ADAT DAN PEMBANGUNAN WILAYAH SARAWAK
 
SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA”
PERINGKAT BAHAGIAN BETONG
 
DI DEWAN SUKAN TAN SRI DATUK AMAR STEPHEN KALONG NINGKAN

26 JULAI 2017 (RABU)

 
  • Pada pagi ini saya telah merasmikan Program Jelajah Sarawak – “Jom Tanam Lada 2017” yang bertemakan “Penanaman dan Pengeluaran Lada Adalah Satu Perniagaan” atau “Betanam Sereta Ngeluar Ka Asil Lada Sebengkah Ari Pengawa Dagang” peringkat Bahagian Betong anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, Sarawak. Program yang sama telah dilancarkan dan diadakan buat pertama kalinya di Sri Aman pada 30 Mac 2017. Program ini diadakan bertujuan untuk mempromosi tanaman lada ke seluruh negeri di Sarawak malah akan diperkembangkan ke Sabah dan Semenanjung Malaysia.
  • Fokus MPB pada masa ini adalah selari dengan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang bertunjangkan lima (5) matlamat utama sesuai dengan pembangunan industri lada negara yang meliputi aspek penyelidikan dan pembangunan, peningkatan produktiviti, pengukuhan pendapatan pekebun kecil, peluasan pasaran serta pemerkasaan sumber manusia.
  • Pada tahun 2016, nilai eksport lada adalah berjumlah RM490 juta berbanding RM514 juta pada tahun 2015 disebabkan pengeluaran yang begitu tinggi serta di luar jangkaan yang berlaku di negara Vietnam. Jepun merupakan destinasi eksport utama pada tahun 2016 iaitu sebanyak RM143 juta atau 25.7%. Destinasi utama lain bagi eksport lada Malaysia ialah ke negara Korea Selatan, Taiwan, Singapura, dan China. Dianggarkan seramai 67,000 orang pekebun terlibat dalam penanaman lada yang mana 95 peratus daripadanya adalah diusahakan oleh golongan Bumiputera.
  • Di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Kerajaan telah mewujudkan Skim Tanaman Baharu Lada untuk membantu pekebun membangunkan kebun baharu lada mereka dengan penyaluran input pertanian seperti baja, dolomitedan insentif untuk tiang sokongan dan keratan lada.
  • Pada tahun 2017, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.2 juta di bawah Skim Tanaman Baharu Lada bagi membantu seramai 3,100 orang pekebun di Malaysia dengan keluasan tanaman berjumlah 310 hektar. Daripada jumlah peruntukan dari Kerajaan Pusat tersebut, Kerajaan Negeri Sarawak telah diperuntukkan sejumlah RM5.6 juta untuk membantu seramai 2,820 orang pekebun yang melibatkan kawasan penanaman seluas 282 hektar.
  • Daripada jumlah yang diperuntukkan kepada Negeri Sarawak pada tahun 2017, Bahagian Betong telah diperuntukkan sebanyak RM1.08 juta untuk membantu seramai 570 orang pekebun untuk membangunkan seluas 57 hektar tanaman baharu lada.
  • Selain itu, Kerajaan Negeri Sarawak turut menyumbang dana untuk memabntu para pekebun lada dengan peruntukan sebanyak RM10 juta dalam tahun 2017 untuk membangunkan kawasan tanaman lada seluas 500 hektar yang melibatkan seramai 5,000 orang pekebun.
  • Sebentar tadi saya telah menyampaikan Anugerah Penghargaan Pekebun Lada Aktif Kategori Usahawan Peraih Lada dan Kategori Usahawan Keratan Lada yang masing – masing diberikan kepada Puan Lenya Ak Nyandang serta Encik Tuing Ak Panting. Turut diserahkan sebentar tadi juga adalah penghargaan kepada sepuluh (10) orang pekebun lada yang aktif menjual lada ke Pejabat MPB Betong. Sesungguhnya setiap kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai tetapi ianya memerlukan keazaman yang jitu serta disulami dengan usaha yang tidak berbelah bahagi dan kejayaan beliau seharusnya menjadi contoh dan motivasi kepada para pekebun kecil lada yang lain.
  • Harga komoditi lada yang berada pada tahap kurang memuaskan pada masa ini, iaitu masing – masing pada paras RM11.76 sekilogram untuk lada hitam dan RM21.22 sekilogram bagi lada putih dilihat telah menjadi polemik dan disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyalahkan agensi sekaligus mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap Kerajaan yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku. Justeru, MPB telah disarankan untuk mengambil langkah yang kukuh melalui pengenalan kepada mekanisme seperti social safety net supaya para pekebun kecil dapat meneruskan aktiviti pertanian mereka pada ketika harga lada mengalami penurunan yang serius. Saya difahamkan bahawa perkara ini sedang diperhalusi sebelum ianya dapat dilaksanakan.
  • Saya juga mencadangkan agar MPB dapat mempertingkatkan usaha mempromosikan Lada Sarawak di persada antarabangsa supaya permintaan terhadapnya turut meningkat. Produk Lada Sarawak boleh dieksport dengan menggunakan nama baharu seperti “Sarawak Natives Pepper”. Dengan pendekatan ini kita mungkin dapat menarik minat ramai orang di negara luar yang prihatin akan kaum pribumi. Saya percaya pendekatan sebegini sudah tentu menguntungkan negara kita khasnya para pekebun lada.
  • Usaha-usaha seperti ini adalah selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Sarawak dalam membangunkan ekonomi luar bandar dengan mempergiatkan aktiviti pertanian sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat di luar bandar.
 
Timbalan Ketua Menteri Sarawak
26 Julai 2017