Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TEKS UCAPAN YB DATUK DATU NASRUN DATU MANSUR TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN SEMINAR PENGGREDAN LADA DAN PENGHASILAN LADA BERKUALITI DI RH. SEGAN ANAK JUBIN, BATU 16, JALAN PAKAN / ENGKAMOP, DAERAH JULAU, BA

TEKS UCAPAN
YB DATUK DATU NASRUN DATU MANSUR
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 
SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN SEMINAR PENGGREDAN LADA DAN PENGHASILAN LADA BERKUALITI
DI RH. SEGAN ANAK JUBIN, BATU 16, JALAN PAKAN / ENGKAMOP, DAERAH JULAU, BAHAGIAN SARIKEI

28 OGOS 2017 (ISNIN)

YB Tan Sri William Mawan Ikom
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
 
YB Datuk Joseph Salang Ak Gandum
Ahli Parlimen P209 Julau
 
YB Encik Rolland Duat Ak Jubin
Ahli Dewan Undangan Negeri N48 Meluan
 
YBrs. Tuan Haji Abang Mohamad Porkan Bin Abang Budiman
Timbalan Residen Bahagian Sarikei
 
YBrs. Encik Sofhi Bin Jebal                          
Pegawai Daerah Julau
 
Encik Mohamad Samsi bin Kamarudin
mewakili Setiausaha Bahagian
Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada
 
YBrs. Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
Tuai Rumah Encik Segan Ak Jubin,
 
Tuan-Tuan / Puan-Puan serta hadirin yang dihormati sekalian.
 
  • Bersyukur kepada Tuhan kerana pada hari ini saya dan rombongan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) dan yang lain telah berkesempatan untuk berkunjung ke Daerah Julau dan Pakan yang terletak di Bahagian Sarikei bagi tujuan meninjau kawasan penanaman lada yang terdapat di daerah ini. Sebentar tadi saya telah berpeluang melawat sekaligus merasmi dan menyerahkan projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Wong Keredat di Ulu Entabai, Julau.
 
YBhg. Datuk/ YB-YB/ Tuan/ Puan,
 
  • Pada petang ini kita berkumpul di rumah panjang Tuai Rumah Segan Ak Jubin dan ini memberikan kesempatan untuk saya bertemu dan beramah mesra bersama penduduk di sini. Saya difahamkan bahawa rumah panjang ini didiami oleh dua puluh tujuh (27) buah keluarga yang terdiri daripada 156 orang penduduk. Jumlah pengeluaran lada dari rumah panjang ini secara keseluruhan pula dianggarkan 40 tan metrik setahun. Hal ini bermakna, jika mengambilkira purata harga lada pada RM17,000 per tan metrik, maka penduduk rumah panjang ini telah mengeluarkan hasil lada dengan nilai RM680,000 pada tahun ini.
 
  • Saya difahamkan bahawa bahagian Sarikei menghasilkan lada terbanyak di Sarawak dengan pengeluaran mencecah 9,084.2 tan metrik setahun yang melibatkan keluasan tanaman seluas 5,098 hektar pada tahun 2016. Jumlah tersebut adalah merangkumi pengeluaran dari 4 buah Daerah utama iaitu Sarikei (810 hektar), Julau (1,934 hektar), Pakan (1,958 hektar) dan Bintangor / Maradong (396 hektar).
 
  • Untuk menggalakkan penanaman lada di seluruh negeri Sarawak khususnya dan Malaysia amnya, Kerajaan melalui MPB menyediakan bantuan berupa baja, dolomite, insentif untuk keratan lada dan tiang sokongan, pelerai, pengipas serta spiral separator di bawah Program Pembangunan Penanaman Lada. Pada 2017 jumlah bantuan untuk Bahagian Sarikei adalah berjumlah
  • Bantuan penanaman lada bagi kategori tanaman baharu di Rh. Segan pula telah melibatkan seramai 11 orang pekebun kecil dengan keluasan 1.1 hektar pada tahun 2016 berbanding 5 orang pekebun kecil lada yang dibantu bagi keluasan seluas 0.5 hektar pada tahun 2015. Skim bantuan seperti ini akan dapat membantu para pekebun kecil lada memulakan tanaman baharu sekaligus mengembangkan keluasan tanaman sedia ada disamping menghasilkan lada yang berkualiti menurut standard yang telah ditetapkan oleh Lembaga Lada Malaysia.
 
YBhg. Datuk/ YB-YB/ Tuan/ Puan,
 
  • Hari ini kita turut merasa bertuah kerana program pada hari ini diadakan di rumah panjang yang diketuai oleh Tuai Rumah Encik Segan Ak Jubin yang merupakan penerima International Pepper Award bagi kategori Pekebun Lada Terbaik dari Malaysia pada tahun 2015. Saya difahamkan bahawa faktor kejayaan beliau dalam penanaman lada ini adalah hasil daripada pengamalan penanaman lada yang baik yang merangkumi aspek pengurusan tanaman dan kebun yang cekap sehingga menyuumbang kepada peningkatan produktiviti yang tinggi. Pada masa ini, jumlah pengeluaran hasil lada beliau adalah dianggarkan sejumlah 8.8 tan metrik yang merangkumi lada putih dan lada hitam. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Tuai Rumah Encik Segan Ak Jubin atas pencapaian yang membanggakan Malaysia khususnya negeri Sarawak serta penduduk di daerah Julau dan Pakan.
 
YBhg. Datuk/ YB-YB/ Tuan/ Puan,
 
  • Secara lumrahnya, harga lada adalah dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran dunia. Pada masa ini, negara pengeluar lada terbanyak di dunia adalah Vietnam dengan pengeluaran mencecah 140,000 tan metrik pada tahun 2016 dan dijangka bertambah kepada 180,000 tan metrik pada tahun 2017. Keadaan yang sama turut berlaku ke atas negara Indonesia, India, Brazil dan Sri Lanka apabila menunjukkan tanda-tanda pertambahan pengeluaran pada tahun ini. Walaupun sebelum ini harga lada sedikit terjejas, namun baru-baru ini keadaan telah mulai pulih apabila harga lada telah kembali meningkat kepada RM16.80 sekilogram dan RM24.00 sekilogram masing – masing untuk lada hitam dan lada putih.
  • Sehubungan itu, saya juga menyeru agar para pekebun lada dapat membuat simpanan atau pelaburan yang sewajarnya ketika memperoleh ‘bonus’ di saat harga lada berada pada paras yang tertinggi dan berjimat-cermatlah lah ketika berbelanja. Mungkin pada masa ini, harga dan permintaan amat memberansangkan, tetapi kita perlulah bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakanlah payung sebelum hujan dan langit yang kita lihat bukanlah selalu nya cerah.
  • Saya juga dapat melihat keadaan dimana tanaman lada ini telah mampu mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penduduk setempat seperti di daerah Julau dan Pakan ini. Hasil jualan lada telah membolehkan mereka menikmati taraf hidup yang baik apabila mereka berkemampuan untuk mendirikan dan memperbaiki rumah-rumah panjang, membeli kenderaan, menghantar anak ke sekolah dan menyambung pelajaran serta menyara kehidupan harian.
  • Sehubungan itu, saya menasihatkan para pekebun lada untuk terus menjaga dan menguruskan kebun lada masing-masing bagi mencegah sebarang serangan penyakit dan perosak lada.Saya turut menyeru kepada para pekebun yang ada pada hari ini untuk terus menghasilkan lada yang berkualiti supaya dapat memenuhi permintaan pasaran sama ada di tempatan mahupun antarabangsa.
  • Akhir kata, semoga setiap perancangan dan aktiviti yang kita lakukan akan sentiasa dipermudah dan diberkati oleh Tuhan. Maka dengan ini, secara rasminya saya menutup seminar Penggredan Lada dan Penghasilan Lada Berkualiti di Rh Segan Ak Jubin bagi tahun 2017.
 
Sekian, terima kasih.
 
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
28 Ogos 2017