Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

KENYATAAN MEDIA YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA PROGRAM LAWATAN KE KAWASAN PENANAMAN LADA DI DAERAH JULAU, BAHAGIAN SARIKEI

KENYATAAN MEDIA
YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 
SEMPENA PROGRAM LAWATAN KE KAWASAN PENANAMAN LADA DI DAERAH JULAU, BAHAGIAN SARIKEI

28 Ogos 2017 (ISNIN)

  • Pada pagi ini saya telah merasmikan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Lada di Wong Keredat, Ulu Entabai, Julau. Kos keseluruhan projek jalan ladang ini adalah berjumlah RM571,653 dan telah dimulakan pada 11 Januari 2017. Projek ini dijadualkan siap sepenuhnya pada 19 September 2017. Walau bagaimanapun, saya dapati bahawa projek ini telah dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan dan hasilnya projek jalan ladang ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 lebih orang pekebun lada dari empat (4) buah rumah panjang berdekatan iaitu Rumah Mong anak Renggan, Rumah Edward anak Kanyan, Rumah Sang anak Nyan dan juga Rumah Phillip anak Balawan.
  • Jalan Ladang sepanjang 1.13 kilometer ini adalah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak dan dengan wujudnya kemudahan jalan ladang sebegini, ianya dapat meningkatkan lagi mobiliti harian para penduduk setempat sehingga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di kawasan yang dinyatakan sebentar tadi.
  • Sejurus selepas itu, program lawatan kerja saya diteruskan ke Rumah Panjang Encik Segan Anak Jubin yang terletak di Batu 16, Jalan Pakan / Engkamop, Julau. Tuai Rumah Segan Anak Jubin ialah salah seorang penerima anugerah Pekebun Lada Terbaik dari Malaysia pada tahun 2015 yang diterima oleh beliau semasa Persidangan International Pepper Community 2016 di Jakarta, Indonesia. Kejayaan beliau sehaarusnya menjadi contoh dan semangat kepada anak-anak buah beliau untuk terus memajukan penanaman lada dengan lebih giat lagi.
  • Saya juga telah menyerahkan bantuan input pertanian kepada 20 orang penerima Skim Bantuan Tanaman Baharu Lada Tahun 2017 bagi daerah Julau. Sejurus itu, saya juga berkesempatan untuk menyampaikan Sijil penyertaan Seminar Penggredan Lada dan Penghasilan Lada Berkualiti Eksport kepada 130 orang peserta seminar yang dijemput dari 12 rumah panjang.
  • Siri lawatan saya pada kali ini akan diakhiri dengan lawatan ke kebun lada di Batu 16, Jalan Engkamup, Pakan-Julau yang diusahakan oleh Tuai Rumah Segan Anak Jubin. Kebun tersebut adalah berkeluasan sekitar 0.7 hektar yang ditanam dengan 1,300 pokok lada matang dan baharu.
  • Dikesempatan ini, saya juga menyeru agar para pekebun lada dapat membuat simpanan atau pelaburan yang sewajarnya ketika memperoleh ‘bonus’ di saat harga lada berada pada paras yang tertinggi dan berjimat-cermatlah lah ketika berbelanja. Mungkin pada masa ini, harga dan permintaan amat memberansangkan, tetapi kita perlulah bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakanlah payung sebelum hujan dan langit yang kita lihat bukanlah selalu nya cerah.
  • Saya berharap agar keluasan dan hasil tanaman lada di Bahagian Sarikei khususnya dan seluruh Negeri Sarawak serta Semenanjung Malaysia amnya akan dapat dipertingkatkan di masa hadapan melalui pengamalan penanaman lada yang baik sekaligus menghasilkan lada yang lebih berkualiti dan sesuai untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
 
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
28 Ogos 2017