Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TEKS UCAPAN YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10 LEMBAGA LADA MALAYSIA DAN PESTA LADA 2017 DI HOTEL IMPERIAL, KUCHING

TEKS UCAPAN
YB DATUK SERI MAH SIEW KEONG
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-10 LEMBAGA LADA MALAYSIA DAN PESTA LADA 2017 DI HOTEL IMPERIAL, KUCHING

13 OKTOBER 2017

YB Datuk Datu Nasrun Bin Datu Mansur
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
 
YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Ketua Menteri Sarawak
Merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED)
 
YBhg. Datuk K. Yogeesvaran
Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
 
YB Tan Sri William Mawan Ikom
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
 
 
YBrs. Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
Dif – dif Kehormat / Ketua- ketua Jabatan/ Wakil- wakil media/ Tuan-tuan/ Puan-puan serta hadirin yang dihormati sekalian.
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan syabas kepada pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang telah membuat persiapan rapi bagi memastikan program pada hari ini berjalan dengan lancar dan berjaya.
 
  • Saya amat berbesar hati melihat kehadiran ramai tetamu pada hari ini sebagai tanda sokongan kepada MPB yang kini telah menjangkau usia 10 tahun semenjak penubuhannya pada tahun 2007 sebagai sebuah lembaga dari Jemaah Pemasaran Lada Hitam. Dalam jangka masa tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa komitmen dan usaha yang dilakukan oleh MPB untuk memajukan industri lada harus dipuji. Syabas dan tahniah MPB.
 
Tuan-tuan/ Puan-puan,
 
  • MPB merupakan sebuah agensi di bawah MPIC yang bertindak sebagai peneraju kepada pembangunan dan perkembangan industri lada di Malaysia melalui aktiviti-aktiviti pemasaran, pengembangan dan penyelidikan. Bertitik tolak daripada itu, MPB terus mengorak langkah dalam merencana dan merangka setiap strategi dan program strategik untuk membantu golongan sasar yang memerlukan.
  • Saya difahamkan bahawa Malaysia adalah negara pengeluar lada ke-5 di dunia. Keluasan tanaman lada di Malaysia adalah dijangka akan mencecah 17,100 hektar dengan jumlah pengeluaran lada kira-kira 31,000 tan metrik untuk tahun 2017 berbanding keluasan seluas 16,768 hektar pada tahun 2016 dengan jumlah pengeluaran sebanyak 29,245 tan metrik.
  • Untuk tahun 2016, eksport produk berasaskan lada keluaran negara adalah bernilai RM490 juta. Destinasi eksport produk berasaskan lada tersebut adalah seperti negara Jepun, China, Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Produk berasaskan lada keluaran negara juga telah dieksport ke benua yang lain seperti ke Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand. Jumlah eksport bagi tahun ini dijangkakan meningkat kepada 15,000 tan metrik berbanding sebanyak 12,199 tan mertrik untuk tahun 2016.
  • Nilai eksport lada negara bagi tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai) tahun 2017 adalah sebanyak 5,851 tan metrik yang juga bernilai RM180.4 juta. Negara Jepun merupakan destinasi eksport utama dalam tempoh tujuh bulan pertama (Januari – Julai) tahun 2017. Sebanyak 1,580 tan lada (atau 27% daripada jumlah eksport lada) telah dieksport ke Jepun.
 
Tuan-tuan/ Puan-puan,
 
  • Sehingga kini, jumlah pekebun lada di Malaysia telah mencecah seramai 29,614 orang dan 98% daripadanya adalah terdiri daripada pekebun lada di Sarawak. Purata pendapatan bagi pekebun lada pada tahun 2016 adalah RM2,127.07 iaitu dengan mengambil kira purata keluasan kebun lada milik pekebun kecil lada adalah seluas 0.2 hektar (0.49 ekar) dan jumlah ini adalah yang tertinggi berbanding aktiviti pertanian yang lain.
  • Sentimen sebeginilah yang harus kita perbaiki dalam kalangan masyarakat. Sama ada kita sedar atau tidak, MPIC dan MPB secara tidak langsung telah berjaya melahirkan ramai pekebun kecil serta usahawan komoditi ladadi Malaysia dan sesungguhnya tanaman lada itu sendiri mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan kepada pekebun- pekebun kecil sekiranya komoditi ini diusahakan dengan bijak, sabar dan penuh tekun. Bak kata pepatah “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”.
  • Hal ini terbukti dengan kejayaan beberapa orang pekebun kecil lada yang terpilih untuk menerima anugerah di peringkat nasional mahupun antarabangsa seperti Encik Suboh Anak Bakak, Encik Mong Anak Renggan, Encik Segan Anak Jubin, Encik Andi Anak Ampok, Encik Lanak Anak Ramba dan Encik Jipun Anak Lamit. Kejayaan mereka seharusnya menjadi contoh dan ikutan buat pekebun-pekebun kecil lain.
  • Di pihak Kerajaan pula, kita akan terus memberi bantuan dari segi input pertanian dan beberapa bantuan lain yang bersesuaian sebagai usaha dan langkah berterusan oleh pihak Kerajaan untuk meringankan sebahagian daripada beban yang dihadapi oleh pekebun kecil lada disebabkan oleh kos pengeluaran yang semakin meningkat.
  • Di bawah RMK-11, pihak Kementerian juga telah memperuntukkan dana pembangunan sebanyak RM40.9 juta bagi tujuan pembinaan Pusat Pembangunan dan Pengembangan Industri Lada Negara yang kini sedang dilaksanakan di Semenggok, Kuching.
  • Dengan terbinanya Pusat Lada Negara ini kelak, ianya dapat membantu MPB dalam mempergiat dan memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri lada negara sekaligus dapat memberi lonjakan dan kedudukan industri lada negara ke tahap yang lebih kompetitif dan mampan di peringkat global.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
  • Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan MPB pada hari ini, kita juga turut meraikan sambutan Hari Pesta Lada Tahun 2017. Pesta ini adalah bertujuan untuk meraikan dan sekaligus memberi pengiktirafan atas peranan yang telah disumbangkan oleh pekebun-pekebun lada di seluruh negara. Tanpa mereka, Malaysia tidak akan menduduki tempat ke-5 sebagai pengeluar utama komoditi lada di peringkat global.
  • Walaupun industri lada negara dilihat masih kecil berbanding sektor komoditi yang lain seperti sawit dan juga getah, MPB seharusnya berbangga dengan pencapaian yang dimiliki oleh industri lada negara masa kini. Cabaran-cabaran seperti kenaikan kos pengeluaran susulan harga baja, penyakit dan perubahan cuaca yang memberi kesan kepada produktiviti perlulah ditangani dengan sewajarnya agar industri lada negara ini dapat berkembang pesat dan dilebar luaskan sekaligus menyumbang kepada pendapatan pekebun khususnya dan negara amnya.
  • Akhir kata, semoga Ulang Tahun MPB ke-10 dan Pesta Lada Tahun 2017 ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif penganjuran yang telah digariskan. Sekian, dengan sukacitanya saya merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-10 Lembaga Lada Malaysia dan Pesta Lada Tahun 2017.
 
Sekian, terima kasih.
 
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
13 Oktober 2017