Laporan Pasaran Lada 27 Feb - 3 Mac 2017

Pasaran aktiviti lada dunia adalah tenang dan terhad pada minggu ini dan keadaan yang sama juga berlaku di Vietnam walaupun dengan terdapatnya keluaran bekalan tuaian baharu di pasaran.
 
Buat masa ini, para pembeli lada masih mengharapkan penurunan harga lada bagi membolehkan mereka membeli lada pada harga yang rendah sementara para pembekal lada pula agak keberatan untuk menjual bekalan lada mereka pada harga yang rendah.
 
Keadaan pasaran di India turut menunjukkan trend yang sama, yakni aktiviti pasaran lada yang kurang aktif manakala harga lada pula telah menurun sedikit pada penghujung minggu yang direkodkan ini. Walaupun harga komoditi tersebut menurun, tetapi ia masih lagi berada pada paras yang memuaskan jika dibandingkan dengan harga komoditi atau sumber yang lain.
 
Di Indonesia, bekalan lada yang ada adalah sangat minima memandangkan bekalan lada baharu hanya akan berada di pasaran pada bulan Julai atau Ogos tahun ini. Namun begitu, pembekal lada di Lampung dan Bangka dilihat mengikut jejak aliran trend pasaran yang berlaku di Vietnam.
 
Harga lada tempatan di Sarawak dilaporkan telah menurun kira – kira RM10/kg manakala harga FOB lada pula direkodkan stabil pada paras US$7.780 per metrik tan dan US$10,860 per metrik tan masing – masing untuk lada hitam dan lada putih.
 
Dikemaskini dan disemak pada : 21 Mac 2017
Sumber : International Pepper Community (IPC)