Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN YANG BERHORMAT DATUK AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA HARI INOVASI 2014 JUMAAT, 26 SEPTEMBER

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT DATUK AMAR DOUGLAS UGGAH EMBAS
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH
LEMBAGA LADA MALAYSIA SEMPENA HARI INOVASI 2014

JUMAAT, 26 SEPTEMBER, JAM 7.50 MALAM
DI HOTEL
SERI SIMANGGANG, SRI AMAN, SARAWAK

Yang Berhormat Dato’ Henry Sum Agong
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
Yang Berbahagia Dato’ Grunsin Ayom
Ketua Pengarah
Lembaga Lada Malaysia
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB)
Para Warga MPB, Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Selamat Malam, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) atas daya usaha menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah MPB bersempena dengan Hari Inovasi MPB 2014 yang bertemakan Inovasi dan Integriti Tonggak Transformasi Industri Lada. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada MPB atas jemputan bagi merasmikan majlis ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Industri lada merupakan salah satu komoditi yang terus menjana pendapatan eksport negara. Pada tahun 2013, industri lada telah menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM273.3 juta, peningkatan sebanyak 11.6% berbanding dengan tahun 2012 sebanyak RM245 juta. Di samping itu, pada tahun 2013, kuantiti eksport lada telah meningkat sebanyak 14.3% ke 12,105 tan berbanding dengan 10,588 tan pada tahun 2012.
  1. Selain itu, sektor ini juga dipelopori oleh para pekebun kecil, di mana ia merupakan salah satu aktiviti utama di luar bandar dan sumber pendapatan golongan ini. Industri lada juga dengan harga yang kukuh buat masa ini telah membolehkan para pekebun kecil menikmati manafaat dari usaha mereka dan juga telah menyumbang kepada peningkatan taraf hidup pekebun kecil di luar bandar.
  1. Dalam hal ini, adalah penting para pegawai MPB menggembleng tenaga dalam usaha untuk meningkatkan daya saing industri lada. Saya percaya sumbangan tuan-tuan dan puan-puan akan dapat membantu meningkatkan pendapatan para pekebun-pekebun kecil di luar bandar dan melengkapi usaha Kerajaan bagi mengurangkan kadar kemiskinan penduduk luar bandar.
  1. Kerajaan telah menyediakan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020 yang merupakan dokumen untuk memantapkan lagi pembangunan industri komoditi negara. Dalam kes industri lada, sasaran pendapatan eksport menjelang 2020 adalah RM650juta. Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) melalui MPB akan terus komited untuk mempergiatkan usaha-usaha untuk memperluaskan tanaman lada kepada 20,110 hektar dan sasaran pengeluaran lada negara menjejak 42,000 tan menjelang 2020.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Majlis seumpama ini yang diadakan pada setiap tahun merupakan satu penghargaan kepada warga kerja MPB yang telah menyumbangkan perkhidmatan cemerlang dalam menjayakan program-program pembangunan industri lada. Selain itu, ia juga bertujuan menghargai warga kerja MPB yang telah menunjukkan inovasi dan prosedur kerja yang cekap dan berkesan selari dengan keperluan perkhidmatan awam yang mesra pelanggan.
  1. Sehubungan itu, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MPB yang telah berjaya menjadi Johan Kategori Teknikal dan Naib Johan Kategori Pengurusan di Konvensyen KIK Peringkat MPIC dan Agensi Tahun 2014 pada 11 September 2014 yang lalu. Dalam hal ini, saya difahamkan kumpulan yang menjuarai Kategori Teknikal dari MPB dengan hasil inovasinya bertajuk Kadar Keguguran Buah Lada Matang Yang Tinggi akan mewakili Kementerian ke peringkat kebangsaan pada bulan November 2014 di Johor nanti.
  1. Selain itu, kumpulan Kategori Pengurusan dengan hasil inovasinya bertajuk Proses Menyenarai Pendek Calon Temuduga Mengambil Masa Yang Lama telah menyandang Naib Johan. Saya berharap agar kejayaan ini bukanlah bertujuan untuk mendapatkan pengiktirafan semata-mata, apa yang lebih penting inovasi itu perlu diterap dan dibudayakan dalam urusan pentadbiran harian serta pada setiap warga kerja MPB agar menjadi kekuatan dan tunjang kejayaan kepada MPB pada masa akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Di samping itu, inisiatif MPB dalam menganjurkan Majlis Bersama Rakan Strategik pada tahun lepas adalah satu langkah yang tepat dan bijak. Majlis tersebut telah menampakkan hasilnya dengan termeterainya beberapa memorandum perjanjian di antara MPB dengan pihak luar.
  1. MPB juga akan memeterai satu lagi Memorandum Perjanjian (MoA) Germplasm Maintenance and Exploitation di antara MPB dan Jabatan Pertanian Sarawak dalam masa terdekat. Projek-projek yang dilaksanakan secara kolaboratif bersama agensi Kerajaan mahupun swasta dilihat mampu menghasilkan impak dan pencapaian yang besar terhadap industri lada negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Majlis pada malam ini juga adalah majlis penghargaan kepada warga MPB yang bersara pada tahun ini. Walaupun penghargaan yang diterima tiada tandingannya dengan jasa dan bakti yang telah ditaburkan sepanjang perkhidmatan, persaraan tuan-tuan dan puan-puan kami iringi dengan doa. Marilah sama-sama kita mendoakan kebahagiaan dan kejayaan rakan-rakan kita yang akan memulakan kehidupan baru selepas persaraan serta senantiasa berada dalam keadaan yang sihat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Saya juga menyeru agar semua warga MPB terus melengkapkan diri dengan kemahiran (skills), ilmu pengetahuan (knowledge) dan sifat-sifat peribadi (attitude) yang tinggi. Empat elemen penting iaitu kesetiaan, dedikasi, kompetensi dan integriti perlu ada dalam sanubari setiap penjawat awam sebagai tunjang pembangunan negara. Nilai-nilai itu perlu ada bagi melakukan transformasi sejajar dengan tuntutan untuk menzahirkan aspirasi Kerajaan.
  1. Akhir kata saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai dan kakitangan yang menerima anugerah pada malam ini dan berharap ia akan menjadi contoh kepada warga MPB yang lain dalam mempertingkatkan kecemerlangan keperibadian yang baik.

Sekian, terima kasih.