Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

KENYATAAN MEDIA YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA” DI DEWAN SUARAH SRI AMAN, SARAWAK

 
UCAPAN PERASMIAN
YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 
SEMPENA PROGRAM JELAJAH SARAWAK “JOM TANAM LADA”
DI DEWAN SUARAH SRI AMAN, SARAWAK
 

30 MAC 2017 (KHAMIS)

 

YBrs. Tuan Indit Bangai
Residen Bahagian Sri Aman
 
YBrs. Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
YBhg. Tan Sri/ Datuk/ Dato’/ Datin serta tuan-puan hadirin yang dihormati sekalian.
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang berjaya menganjurkan Program Jelajah Sarawak “Jom Tanam Lada” pada pagi ini. Sesungguhnya inisiatif yang dilaksanakan ini wajar diteruskan dan dikembangkan lagi seterusnya dapat memperkenalkan dan mempromosikan tanaman lada ke seluruh pelosok negara sekaligus merancakkan lagi aktiviti penanaman lada di negara kita.
 
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
  • Sejak beberapa tahun yang lepas, komoditi lada telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan telah memberikan sumbangan penting khususnya kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar dan menyediakan peluang pekerjaan terutamanya di Sarawak. Selain itu, industri lada juga turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara setiap tahun.
  • Peningkatan ini dilihat seiring dengan Dasar Komoditi Negara (DKN) yang dirangka secara khusus bagi memperkukuhkan lagi peranan dan sumbangan industri komoditi perladangan kepada ekonomi negara. Lima (5) matlamat utama telah digariskan di bawah DKN khusus buat pembangunan industri lada negara, iaitu
  1. Meningkatkan pengeluaran dan daya saing pengeluaran lada;
  2. Memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D);
  3. Mengukuhkan pendapatan pekebun kecil;
  4. Memperluas pasaran; serta
  5. Memperkasa modal insan.
 
Kesemua matlamat ini sentiasa menjadi pegangan dan rujukan oleh MPB dari semasa ke semasa agar matlamat dan aspirasi MPB dapat dicapai.
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
  • Pada tahun 2016, jumlah eksport lada adalah sebanyak 12,199 tan metrik dengan nilai eksport berjumlah RM490.2 juta. Jumlah ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu 4.6 % daripada nilai eksport pada tahun 2015 yang bernilai RM513.9 juta disebabkan pengeluaran yang begitu tinggi oleh negara Vietnam. Destinasi eksport lada negara utama pada masa kini adalah negara Jepun dengan nilai eksport berjumlah RM142.9 juta. Destinasi eksport yang lain termasuklah Korea Selatan,Taiwan,Singapura, dan China.
  • Dari aspek pengeluaran pula, Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga kelima dengan jumlah pengeluaran pada tahun 2016 dianggarkan sebanyak 29,245 tan metrik, iaitu peningkatan sebanyak 3.3% berbanding pada tahun 2015 yang berjumlah 28,300 tan metrik. Pada tahun 2016, pengeluar lada utama dunia dipelopori oleh negara Vietnam dengan jumlah pengeluaran sebanyak 140,000 tan metrik, diikuti dengan Indonesia (70,000 tan metrik), India (48,500 tan metrik) dan Brazil (45,000 tan metrik). Tanaman lada di Malaysia diusahakan oleh kira-kira 67,304 orangpekebun kecil lada yang mana 95 peratusdaripadanya adalah diusahakan oleh golongan Bumiputera.
  • Kedudukan Malaysia di tangga ke-5 sebagai negara pengeluar lada dunia tidak mustahil dapat dicapai tanpa melalui polisi dan program yang menyeluruh dalam pembangunan industri lada. Kerajaan sememangnya menghargai penat lelah dan sumbangan pekebun kecil dalam kemajuan industri lada negara dan oleh sebab itu, Kerajaan telah menyediakan tiga (3) inisiatif untuk mempertingkatkan pendapatan para pekebun lada melalui MPB iaitu Skim Tanaman Baharu Lada, Skim Peningkatan Kualiti Peringkat Ladang dan Skim Usahawan Keratan & Usahawan Jual Beli.
  • Bagi tahun 2016 dan 2017, dana berjumlah RM16.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan skim bantuan tersebut di Sarawak dan sejumlah RM 2.5 juta telah diperuntukan kepada Bahagian Sri Aman yang mana dianggarkan seramai 1,560 orang pekebun dapat menerima manfaat hasil daripada skim bantuan tersebut.
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
 
  • Harga komoditi lada juga telah mulai stabil setelah mengalami sedikit penyusutan pada penghujung tahun 2016. Purata harga lada hitam pada bulan Mac telah mencecah RM19,000 per tan metrik manakala purata harga lada putih pula mencecah RM31,000 per tan metrik. Justeru, para pekebun lada harus mengambil peluang ini untuk menyelenggara kebun lada sebaik mungkin agar hasil yang diperolehi dapat dipertingkatkan sekaligus memberikan pulangan yang lebih lumayan. Pekebun lada juga diingatkan supaya dapat memanfaatkan kestabilan harga lada dipasaran dan dapat juga menyediakan simpanan sewajarnya bagi kegunaan pada masa hadapan sekiranya harga lada mengalami penyusutan.
 
Tuan-tuan dan puan-puan,
  • Industri komoditi pada masa ini tidak terlepas daripada isu dan cabarankesan daripada perubahan ekonomi dunia yang semakin mendesak disamping liberalisasi perdagangan antarabangsa yang kian meruncing. Bagi industri lada, tumpuan yang diberikan adalah tidak kurang berbeza berbanding sektor komoditi yang lain, yakni fokus pada masa kini adalah kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan inovasi dalam pembangunan produk nilai tambah serta isu-isu alam sekitar yang sentiasa menjadi perdebatan di pelbagai peringkat. Pendek kata, seluruh aspek MPB daripada pengurusan, penyelidikan, pemasaran, penguatkuasaan dan teknologi akan dipertingkatkan dan diperkukuh bagi mencapai sasaran ini.
  • Tidak dapat dinafikan bahawa pekebun kecil merupakan nadi yang terpenting dalam rantaian pengeluaran lada negara. Rasai dan selamilah denyut nadi rakyat melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan agar kebajikan pekebun kecil lada ini tidak terpinggir dan mendapat perhatian yang sewajarnya.
  • Akhir kata, dengan penuh lafaz kesyukuran saya merasmikan Program Jelajah Sarawak – “Jom Tanam Lada Tahun 2017”. Sekian, terima kasih.
 
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
30 Mac 2017