Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

UCAPAN YB DATUK DATU NASRUN DATU MANSUR TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG LEMBAGA LADA MALAYSIA TAHUN 2016 HOTEL IMPERIAL, KUCHING, SARAWAK

UCAPAN
YB DATUK DATU NASRUN DATU MANSUR
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG
LEMBAGA LADA MALAYSIA TAHUN 2016
 
HOTEL IMPERIAL, KUCHING, SARAWAK

6 JUN 2017 (SELASA)

 
YBhg. Datuk M. Nagarajan
Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
 
YB Tan Sri William Mawan Ikom
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
 
YBrs. Puan Mariam Ilias
Setiausaha Bahagian
Bahagian Kemajuan Industri Koko dan Lada (IKL)
 
Yang Berusaha Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
Ahli – ahli Lembaga Pengarah
Lembaga Lada Malaysia
 
Wakil – wakil Media
 
YBhg. Datu/Dato’/Tuan/Puan yang dihormati sekalian.
 
Selamat petang, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
 
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang berjaya menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2016 yang diadakan di dewan yang indah ini. Saya berasa amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan seluruh warga
 
MPB bagi meraikan majlis pengiktirafan kepada para penerima yang telah menyumbangkan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun 2016.
 
Hadirin yang dihormati sekalian,
  • Sejak beberapa tahun yang lepas, komoditi lada telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan telah memberikan sumbangan penting khususnya kepada pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar dan menyediakan peluang pekerjaan terutamanya di Sarawak. Selain itu, industri lada juga turut menyumbang kepada pendapatan eksport negara setiap tahun.
  • Pada tahun 2016, eksport lada adalah sebanyak 12,199 tan metrik dengan nilai eksport berjumlah RM490.2 juta. Jumlah ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 4.6% daripada nilai eksport pada tahun 2015 bernilai RM513.9 juta disebabkan oleh pengeluaran lada yang begitu tinggi di luar jangkaan di negara Vietnam. Destinasi eksport lada negara utama pada masa kini adalah negara Jepun dengan nilai eksport berjumlah RM142.9 juta, Korea Selatan, Taiwan, Singapura, dan China.
  • Dari aspek pengeluaran pula, Malaysia mencatatkan kedudukan di tangga kelima dengan jumlah pengeluaran pada tahun 2016 dianggarkan sebanyak 29,245 tan metrik, iaitu peningkatan sebanyak 3.3% berbanding pada tahun 2015 yang berjumlah 28,300 tan metrik. Pada tahun 2016, pengeluar lada utama dunia dipelopori oleh negara Vietnam dengan jumlah pengeluaran sebanyak 140,000 tan metrik, diikuti dengan Indonesia (70,000 tan metrik), India (48,500 tan metrik) dan Brazil (45,000 tan metrik). Tanaman lada di Malaysia diusahakan oleh kira-kira 67,304 orangpekebun kecil lada yang mana 95 peratusdaripadanya diusahakan oleh golongan Bumiputera.
Hadirin yang dihormati sekalian,
  • Kedudukan Malaysia di tangga ke-5 sebagai negara pengeluar lada dunia mustahil dapat dicapai tanpa penglibatan polisi dan program yang menyeluruh bagi pembangunan industri lada. Kerajaan sememangnya menghargai penat lelah dan sumbangan pekebun kecil dalam kemajuan industri lada negara.
  • Oleh sebab itu, Kerajaan telah menyediakan tiga (3) inisiatif untuk mempertingkatkan pendapatan para pekebun lada melalui MPB iaitu Skim Tanaman Baharu Lada, Skim Peningkatan Kualiti Peringkat Ladang dan Skim Usahawan Keratan & Usahawan Jual Beli. Untuk tujuan tersebut, dana berjumlah RM16.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan skim bantuan tersebut di Sarawak bagi tahun 2016 dan 2017.
  • Industri komoditi pada masa ini tidak terlepas daripada isu dan cabarankesan daripada perubahan ekonomi dunia yang semakin mendesak di samping liberalisasi perdagangan antarabangsa yang kian meruncing. Bagi industri lada, tumpuan yang diberikan adalah tidak kurang berbeza berbanding sektor komoditi yang lain, yang memfokuskan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan inovasi dalam pembangunan produk nilai tambah serta isu-isu alam sekitar yang sentiasa menjadi perdebatan di pelbagai peringkat. Sehubungan itu, seluruh aspek MPB daripada pengurusan, penyelidikan, pemasaran, penguatkuasaan dan teknologi akan dipertingkat dan diperkukuhkan bagi mencapai sasaran ini.
  • Tidak dapat dinafikan bahawa pekebun kecil merupakan nadi yang terpenting dalam rantaian pengeluaran lada negara. Rasai dan selamilah denyut nadi rakyat melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti pembangunan agar kebajikan pekebun kecil lada ini tidak terpinggir dan mendapat perhatian yang sewajarnya. Justeru, saya amat memuji usaha yang dilakukan oleh MPB dalam mempromosikan tanaman lada ini ke seluruh negara bukan sahajamelalui Program Jom Tanam Lada yang telah dan akan melibatkan beberapa buah negeri di seluruh negara secara berperingkat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
  • Pada petang ini juga kita akan meraikan warga MPB yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang sepanjang tahun 2016, terutamanya dalam memastikan matlamat agensi adalah selari dengan aspirasi kerajaan yang telah ditetapkan sekaligus menepati kehendak “smallholders”. Untuk kali ini seramai 55 orang warga MPB yang terpilih untuk menerima anugerah yang terdiri daripada 25 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 dan 30 orang penerima Anugerah Perkhidmatn Setia (APS) 2017.
  • Kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai anugerah dan ganjaran. Melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, saya berharap ia dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk terus memberi komitmen dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi, sekaligus menjadikan perkhidmatan awam kekal relevan dan memenuhi ekspektasi rakyat atau golongan sasar. Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga MPB untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik.
  • Akhir kata, tahniah kepada semua penerima anugerah APC 2016 dan APS 2017 MPB dan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan majlis pada petang ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
6 Jun 2017