Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

TEKS UCAPAN YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI SEMPENA MAJLIS PERASMIAN JALAN LADANG PEKEBUN KECIL LADA WONG KEREDAT, ULU ENTABAI, JULAU BAHAGIAN SARIKEI

TEKS UCAPAN
YB DATUK DATU NASRUN BIN DATU MANSUR
TIMBALAN MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN JALAN LADANG PEKEBUN KECIL LADA WONG KEREDAT, ULU ENTABAI, JULAU
BAHAGIAN SARIKEI

28 OGOS 2017 (ISNIN)

YB Tan Sri William Mawan Ikom
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia
 
YB Datuk Joseph Salang Ak Gandum
Ahli Parlimen P209 Julau
 
YB Encik Rolland Duat Ak Jubin
Ahli Dewan Undangan Negeri N48 Meluan
 
YBrs. Tuan Haji Abang Mohamad Porkan Bin Abang Budiman
Timbalan Residen Bahagian Sarikei
 
YBrs. Encik Sofhi Bin Jebal                          
Pegawai Daerah Julau
 
Encik Mohamad Samsi bin Kamarudin
mewakili Setiausaha Bahagian
Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada
 
YBrs. Dr. Harry Entebang
Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia
 
Tuai Rumah Encik Mong Ak Renggan
Tuai Rumah Edward Ak Kanyan
Tuai Rumah Sang Ak Nyan; dan
Tuai Rumah Philip Ak Balawan
Tuan-tuan/ Puan-puan serta hadirin yang dihormati sekalian.
 
  • Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang telah membuat persiapan rapi sehingga kita dapat mengadakan majlis perasmian jalan ladang pada hari ini. Saya amat berbesar hati melihat kehadiran penduduk yang datang beramai-ramai dari segenap pelusuk kawasan di daerah Julau dan Pakan untuk sama-sama menyaksikan perasmian jalan ladang ini.
Tuan-tuan/ Puan-puan,
  • Saya difahamkan, pada masa ini keluasan tanaman lada di Daerah Julau adalah seluas 1,954 hektar dengan jumlah pengeluaran lada kira-kira 3,714 tan metrik; manakala di Pakan pula, keluasan tanaman lada dianggarkan sekitar 1,983 hektar dengan anggaran jumlah pengeluaran lada sebanyak 3,769 tan metrik. Ini menunjukkan hasil daripada tanaman lada ini mampu menjana pendapatan penduduk di Daerah Julau dan Pakan kira-kira RM127 juta dengan mengambil kira harga lada hitam berada pada paras purata harga RM17,000 per tan metrik setakat hari ini sekaligus menjadikan aktiviti penanaman lada sebagai sumber pendapatan utama di daerah ini.
  • Sesungguhnya, projek pembinaan jalan ladang ini adalah salah satu daripada projek pembangunan luar bandar yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk kampung setempat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti perusahaan lada seperti kerja- kerja penanaman dan penjualan lada di samping memudahkan mobiliti para penduduk di kawasan luar bandar. Jalan ladang ini turut digunakan sebagai jalan penghubung bagi para penduduk di empat (4) buah rumah panjang di sekitar Wong Keredat, Nanga Sekedang dan Jalan Sengaih Keredat ini dengan pekan Pakan dan juga Sarikei.
Tuan-tuan/ Puan-puan,
  • Kos keseluruhan projek jalan ladang ini adalah berjumlah RM571,653 dan telah dimulakan pada 11 Januari 2017. Projek ini dijadualkan siap sepenuhnya pada 19 September 2017. Walau bagaimanapun, saya dapati bahawa projek ini telah dapat disiapkan lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan dan hasilnya projek jalan ladang ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100 lebih orang pekebun lada dari empat (4) buah rumah panjang berdekatan iaitu Rumah Mong anak Renggan, Rumah Edward anak Kanyan, Rumah Sang anak Nyan dan juga Rumah Phillip anak Balawan.
  • Harapan saya agar dengan wujudnya jalan ladang seperti ini, maka akan ada kawasan-kawasan baru yang akan dibuka bagi mempergiatkan lagi aktiviti penanaman dan penghasilan lada berkualiti eksport melalui pengamalan penanaman baik serta menguruskan kebun lada mereka dengan lebih cekap lagi supaya taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah yang tinggi dapat dinikmati oleh seisi keluarga.
 
Tuan-tuan dan Puan-puan,
 
  • Kerajaan mengambil maklum akan rintihan para pekebun lada terhadap masalah-masalah yang dihadapi dalam mereka membangunkan tanaman lada masing-masing. Kita sedia maklum bahawa baru-baru ini harga lada telah mengalami sedikit penurunan lantaran memberi kesan ke atas pendapatan para pekebun lada di kawasan luar bandar. Sehubungan itu, saya juga menyeru agar para pekebun lada dapat membuat simpanan atau pelaburan yang sewajarnya ketika memperoleh ‘bonus’ di saat harga lada berada pada paras yang tertinggi dan berjimat-cermatlah lah ketika berbelanja. Mungkin pada masa ini, harga dan permintaan amat memberansangkan, tetapi kita perlulah bersiap sedia dengan apa jua kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan. Bak kata pepatah, sediakanlah payung sebelum hujan dan langit yang kita lihat bukanlah selalu nya cerah.
  • Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek pembinaan jalan ladang serta penyaluran bantuan seperti Skim Tanaman Baharu Lada bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh pekebun lada di negara ini.
  • Saya mengharapkan projek jalan ladang ini dapat menjadi batu loncatan bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran lada di kawasan ini sekaligus meningkatkan pendapatan pekebun lada dengan menghasilkan lada Sarawak yang berkualiti tinggi. Sememangnya telah terbukti bahawa aktiviti penanaman lada mampu meningkatkan taraf hidup dan juga sosioekonomi rakyat terutamanya masyarakat di luar bandar.
  • Akhir kata, saya dengan sukacitanya serta penuh lafaz kesyukuran dengan ini merasmikan Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Wong Keredat, Ulu Entabai, daerah Julau.
Sekian, terima kasih.
 
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
28 Ogos 2017