Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

MPB mampu tingkat daya saing industri lada

Sumber : Utusan Borneo

Pautan : http://www.utusansarawakonline.com/news/35461/Swak-pengeluar-utama-lada-negara/

KUCHING:Lembaga Lada Malaysia (MPB) diyakini mampu meningkatkan daya saing industri lada negara dengan menghasilkan lebih banyak produk tambah nilai selepas projek naik taraf Makmal Analisis Pusat di ibu pejabat MPB di sini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, penghasilan pelbagai produk tambah nilai berasaskan lada penting memandangkan harga komoditi di pasaran global ketika ini tidak stabil.

“Oleh itu Makmal Analisis Pusat MPB dinaik taraf bagi membolehkan penyelidikan dan kajian penghasilan produk tambah nilai berasaskan lada memenuhi piawaian serta keselamatan makanan di peringkat antarabangsa.

“Nilai eksport komoditi itu tahun lalu yang mencecah RM514 juta membuktikan produk tambah nilai akan mendapat tempat dalam pasaran global kerana lada dihasilkan negara adalah berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya bersama Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur ke ibu pejabat MPB Sarawak di sini semalam.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan surat pelantikan kepada Ketua Pengarah MPB yang baharu Dr Harry Entabang.

Mengulas mengenai makmal berkenaan, ia dibina di bawah projek menaik taraf membabitkan kos RM2.118 juta dan dilengkapi kemudahan analisis fizikal, mikrobiologikal dan kimia, termasuk sisa baki racun makhluk perosak, mikotisin dan logam berat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mah berkata jumlah pengeluaran lada pada tahun lalu (2015) menunjukkan peningkatan iaitu 28,300 tan metrik berbanding hanya 800 tan metrik pada 2014.

“Pada 2015, jumlah eksport lada adalah 13,624 tan metrik yang bernilai RM514 juta, Jepun merupakan destinasi eksport utama iaitu sebanyak 24.3 peratus atau RM151.1 juta.

“Destinasi utama lain eksport lada Malaysia ialah China, Taiwan, Singapura, Eropah Barat dan Korea Selatan,” katanya sambil menambah, Malaysia merupakan pengeluar kelima terbesar lada dunia selepas Vietnam, Indonesia, India dan Brazil.

Menurutnya sehingga 2015, seluas 16,333 hektar kawasan telah ditanam dengan lada di seluruh negara berbanding 16,021 hektar pada tahun sebelumnya yang melibatkan 16,092 hektar (98 peratus) di Sarawak, 36 hektar (Sabah) dan 205 hektar lagi di Semenanjung Malaysia.

“Industri lada sangat penting kerana di Malaysia ia diusahakan oleh kira-kira 67,171 pekebun kecil iaitu 90 peratus merupakan Bumiputera,” katanya.

Mah juga menyuarakan keyakinan harga komoditi itu dalam pasaran global akan kekal memandangkan ketika ini wujudnya permintaan melebihi pengeluaran namun pada masa sama negara berdepan saingan daripada negara-negara pengeluar lain.