Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

Kerajaan Persekutuan Sedia RM16.8 Juta Bantu Penanam Lada Di Sarawak

SRI AMAN: Sepanjang 2016 hingga 2017, Kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM16.8 juta dana untuk melaksanakan Skim Bantuan Penanam Lada di Sarawak.
 
“Skim bantuan berkenaan adalah termasuk Skim Tanaman Baharu Lada, Skim Peningkatan Kualiti Peringkat Ladang dan Skim Usahawan Keratan dan Usahawan Jual Beli,” kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datu Nasrun Datu Mansur.
 
Menurutnya, skim itu diwujudkan untuk membantu membangunkan kawasan tanaman lada seluas 500 hektar yang melibatkan seramai 5,000 pekebun.
 
Memetik laporan Utusan Borneo, sebanyak RM16.8 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan skim tersebut di Sarawak dan daripada jumlah tersebut, RM2.5 juta telah diperuntukkan kepada bahagian Sri Aman.
 
“Dianggarkan seramai 1,560 orang pekebun telah menerima manfaat hasil daripada skim bantuan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Sarawak - Jom Tanam Lada 2017 di Dewan Suarah Sri Aman di sini, semalam.
 
Katanya, komoditi lada telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsakan dan telah memberi sumbangan penting terhadap ekonomi negara sejak beberapa tahun lepas.

“95 peratus daripada pekebun kecil lada di Malaysia yang berjulah kira-kura 67,034 orang pekebun adalah terdiri daripada golongan bumiputera,” ujar beliau.
 
Beliau memberitahu, industri lada menyumbang kepada peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar. - Sarawakiana
 
Source/Sumber: Sarawakiana
Date/Tarikh:Friday, 31 March 2017