Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

Pelbagai tanaman komoditi

Pekebun boleh jana pendapatan sampingan jika harga pasaran tanaman lain menurun, mengalami kerosakan

jomtanamladabetongutusan

Betong : Pengusaha dan pekebun tanaman lada disaran mempelbagaikan tanaman komoditi dan tidak hanya tertumpu kepada satu jenis tanaman.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tanaman komoditi lain termasuk getah dan kelapa sawit.

Katanya pekebun boleh menjana hasil pendapatan sampingan sekiranya harga pasaran tanaman lain menurun atau mengalami kerosakan.

“Jangan kita bergantung kepada satu jenis tanaman sahaja sebaliknya para pekebun harus mempelbagaikan jenis supaya pendapatan mereka tidak terjejas sekiranya berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini terhadap tanaman tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Jelajah Sarawak, Jom Tanam Lada 2017 Peringkat Bahagian Betong semalam.

Katanya, pekebun juga boleh melibatkan diri dengan aktiviti ternakan seperti menternak ‘engkelulut’ sebagai ekonomi tambahan.

Jelasnya industri menternak ‘engkelulut’ lebih mudah dan senang diuruskan selain turut mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Ugah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memberitahu, kerajaan akan terus berusaha menambah pendapatan rakyat luar bandar dengan mengadakan pelbagai program pertanian serta rancangan ekonomi.

Tambahnya terdapat pelbagai skim pertanian yang disediakan untuk membantu rakyat luar bandar seperti skim penanaman getah, lada hitam, kelapa sawit dan sebagainya.

Justeru beliau menggesa pekebun mengambil peluang yang disediakan kerajaan dalam mengusahakan tanaman komoditi berkenaan dan seterusnya menjana ekonomi keluarga dan negara.

Turut hadir Penasihat Khas Kerajaan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu, ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam dan ADUN Kelaka Datuk Abdul Wahab Aziz.