Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

Majukan Industri Lada

lawatanjulau2.jpeg

SIBU: Kerajaan persekutuan menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam memajukan industri penanaman lada.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata kerajaan persekutuan memiliki jumlah peruntukan dan kemudahan mencukupi untuk menggalakkan penanaman lada di seluruh negeri dan di Malaysia amnya.

“Kerajaan melalui MPB menyediakan peruntukan dan pelbagai skim bantuan untuk membantu para  pekebun kecil lada memulakan tanaman baharu bagi mengembangkan tanaman sedia ada.

“Skim bantuan juga diberi dengan tujuan menghasil lada berkualiti mengikut standard ditetapkan MPB,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan persekutuan memberikan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk membangunkan industri lada di negeri ini.

Sarawak merupakan antara negeri terbesar terlibat dengan industri tanaman lada di Malaysia.

Menurut Datu Nasrun, MPB juga menyiasat kebenaran dakwaan mengenai perbuatan mengimport lada kurang berkualiti dari negara jiran dan dicampurkan dengan hasil lada yang diperolehi di negeri ini.

Katanya MPB akan berusaha mencari mekanisme terbaik untuk menghalang perbuatan tidak bertanggungjawab itu bagi memelihara kualiti produk lada Sarawak.

“Lada Sarawak antara produk semakin mendapat tempat di seluruh dunia dan amat penting bagi kerajaan memastikan keasliannya terpelihara,” ujarnya.

Terdahulu Datu Nasrun merasmikan Projek Jalan Ladang Pekebun Lada di Wong Keredat, Ulu Entabai, Julau yang menelan kos sebanyak RM571,653.

Projek bakal memberi manfaat kepda empat rumah panjang iaitu Rumah Mong Renggan, Rumah Edward Kanyan, Rumah Sang Nyan dan Rumah Philip Balawan mula dilaksanakan pada 11 Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan September depan.

Jalan ladang sepanjang 1.13 kilometer itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bertujuan meningkatkan mobiliti harian dan membangunkan sosioekonomi penduduk di keempat-empat rumah panjang berkenaan.

Datu Nasrun yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Sarawak turut berkesempatan menutup Seminar Penggredan Lada dan Penghasilan Lada Berkualiti yang diadakan di Rumah Segan Jubin, Batu 16, Jalan Pakan/Engkamop, Julau.

Dalam ucapannya, beliau menasihati pekebun lada agar membuat simpanan atau pelaburan sewajarnya pada saat harga lada berada pada paras tinggi.

Ini kerana harga lada jelas beliau dipengaruhi permintaan dan penawaran dunia.

Turut hadir Pengerusi Lada Malaysia (MPB) Tan Sri William Mawan Ikom, Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat, Residen Bahagian Sarikei Mohamad Junaidi Mohidin, Pegawai Daerah Julau Sofhi Jebal dan Ketua Pengarah MPB Dr Harry Entebang.