Lot 1115, Jalan Utama, 93450, Kuching, Sarawak
A- A A+

Sarawak Penyumbang Terbesar Sektor Pertanian Negara Pada 2016

Tarikh kemaskini: 17/11/2017

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Sumbangan Sarawak terhadap sektor pertanian negara telah mencatatkan peningkatan ketara apabila menduduki tempat teratas dalam kalangan negeri pada 2016 daripada tempat ketiga pada 2010, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sumbangan negeri itu meningkat daripada RM11.8 bilion atau 14.3 peratus pada 2010 kepada RM14.7 bilion atau 16.8 peratus pada 2016.

Pada sesi penggulungan perbahasan bagi kementerian itu untuk Bajet Negeri 2018, beliau juga berkata sektor pertanian negeri menyumbang 13.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2016 dengan tanaman menyumbang 68.1 peratus; ternakan 4.5 peratus; perikanan 5 peratus dan perhutanan serta pembalakan 22.4 peratus.

"Pertumbuhan dalam subsektor tanaman banyak bergantung pada komoditi khususnya kepala sawit, getah, lada hitam dan sagu, manakala ayam dan khinzir adalah penyumbang utama pertumbuhan bagi susektor ternakan," katanya.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan pertanian di negeri ini secara keseluruhannya mencatatkan penurunan, daripada 2 peratus pada 2015 kepada negatif 2.5 peratus pada 2016. Ini berpunca daripada penurunan pengeluaran minyak sawit mentah, daripada 3.5 juta tan kepada 2.5 juta tan dan minyak isirong kelapa sawit daripada 0.7 juta tan kepada 0.5 juta tan disebalik berlaku sedikit peningkatan harga eksport minyak kelapa sawit mentah daripada RM2,500 satu tan kepada RM2,956

Sumber/Source : Bernama Online

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1411431