PERUTUSAN KETUA PENGARAH

kpSelamat datang ke Portal Rasmi Lembaga Lada Malaysia (MPB)!
 
Piper nigrum Linnaeus mula ditanam di kawasan Langkawi, Kedah seawal tahun 1619. Walau bagaimanapun,  penanaman komoditi tersebut kemudiannya dipelopori oleh kaum Hakka yang datang ke daerah Bau,  Sarawak pada lewat tahun 1840-an untuk melombong emas dan  menanam lada. Pada peringkat awal penanaman, Piper nigrum Linnaeus yang diberi jolokan nama sebagai Raja Segala Rempah telah menarik perhatian ramai petani pada masa tersebut susulan daripada pengenalan kepada insentif menggalakan petani tempatan yang diperkenalkan oleh Charles Brooke. Sehingga kini, Sarawak kekal sebagai pengeluar lada terbesar di Malaysia sekaligus meletakkan negara kita sebagai antara pengeluar utama dan pengeksport terbesar lada berkualiti tinggi ke 12 buah negara utama di dunia. Maka, menyedari tentang permintaan yang sentiasa tinggi terhadap komoditi lada dan produk – produk berasaskan lada, komoditi ini terus menjadi salah satu komoditi yang paling menarik serta menguntungkan ramai pekebun kecil sejak awal lagi.
 
Justeru, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (MPIC) yang telah diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk menggalakan pembangunan industri lada, MPB akan terus merangka, membangun dan melaksanakan dasar – dasar strategik serta program yang akan memberi manfaat secara langsung kepada pekebun, peniaga, usahawan dan juga pengeksport. Usaha yang strategik dan berterusan akan terus dilaksanakan di seluruh negara untuk menggalakan penanaman lada baru bukan sahaja di kalangan pekebun-pekebun kecil malah dikalangan syarikat swasta, badan-badan/agensi-agensi berkanun kerajaan.
 
Selain itu, bagi memastikan industri lada ini terus mampan dan berdaya saing, MPB akan terus menggalakan inisiatif pembaharuan strategik, inovasi yang berterusan serta penerokaan inisiatif – inisiatif baharu disamping memupuk kerjasama strategik yang berorientasikan aspek keusahawanan bersama dengan pihak – pihak berkepentingan.
 
Saya berharap maklumat yang dipaparkan di dalam portal ini akan dapat membantu dan membolehkan anda semua untuk mengetahui serta memahami dengan lebih lanjut mengenai peranan dan tanggungjawab kami sebagai peneraju industri lada negara. Pada masa yang sama, MPB akan memastikan masyarakat di luar akan terus mendapat maklumat serta perkembangan yang terkini dalam aspek – aspek yang berkaitan dengan pembangunan industri lada.
 
DR. HARRY ENTEBANG
KETUA PENGARAH
LEMBAGA LADA MALAYSIA