Hubungan kerjasama yang terjalin antara Malaysia dan Jepun dalam industri lada terus menjadi pemacu kepada pembangunan sektor lada ke arah yang lebih berdaya saing dan mampan.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi kunjungan rasmi delegasi rakan industri dari Jepun ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) pada 6 hingga 7 Julai 2026 yang diiringi oleh Saraspice Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jalinan kerjasama yang telah sekian lama dibina.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi pendedahan mengenai perkembangan semasa industri lada negara serta berpeluang meninjau sendiri ekosistem pembangunan lada Malaysia, merangkumi aspek pemprosesan, kawalan kualiti dan pengurusan rantaian nilai yang memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.
Sebagai antara destinasi eksport yang menitikberatkan kualiti, keselamatan makanan dan kebolehjejakan produk, Jepun terus menjadi rakan strategik penting yang mendorong MPB memperkukuh standard kualiti serta amalan terbaik industri agar kekal memenuhi jangkaan pasaran global.
MPB akan terus memanfaatkan kerjasama strategik bersama rakan industri antarabangsa bagi memperluas peluang pasaran, meningkatkan daya saing serta mengukuhkan kedudukan lada Malaysia sebagai produk premium yang diyakini di peringkat antarabangsa.











