20 SEPTEMBER 2025 | KUCHING
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini telah menyempurnakan Majlis Apresiasi Lembaga Lada Malaysia (MPB) 2025 di Kuching, Sarawak. Majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan warga MPB dengan seramai 25 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 7 penerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) diraikan. Turut diadakan pelancaran Buku Pakej Teknologi Sistem Tanaman Integrasi Lada sebagai panduan kepada pekebun dalam meningkatkan produktiviti.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Johari menegaskan bahawa industri lada Malaysia berpotensi besar sebagai pemacu ekonomi baharu, bukan sahaja melalui eksport tradisional tetapi juga dalam bidang farmaseutikal, kosmeseutikal serta produk bernilai tambah seperti anti-penuaan dan anti-diabetes. Beliau turut menekankan perlunya industri beralih daripada eksport pukal kepada pembangunan produk inovasi bernilai tambah melalui kerjasama rapat dengan institusi penyelidikan.
Bagi tempoh 2021 hingga Julai 2025, eksport lada negara telah merekodkan 28,564 metrik tan bernilai RM778.61 juta, dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak RM10.02 bilion. Menjelang penghujung tahun 2025, pengeluaran lada tempatan disasarkan mencapai 35,000 metrik tan, memberi manfaat kepada lebih 39,366 pekebun di seluruh negara dengan keluasan penanaman berjumlah 8,279 hektar.











