28 September 2025 | Segamat, Johor
Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjelajah ke daerah Segamat, Johor hari ini bagi penganjuran Program Pemindahan Teknologi (TOT) Penanaman Lada dengan dihadiri seramai lebih 160 orang hadirin termasuk Ketua-Ketua Jabatan, Ketua - Ketua Kampung, Ketua - Ketua Mukim, Persatuan - Persatuan, Pengusaha dan Usahawan Lada daerah Segamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Dato' Zahari bin Sarip berucap ketika menyempurnakan program berkata, Kerajaan Negeri Johor khususnya amat memberi perhatian terhadap usaha untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan tanaman lada di bumi Johor.
Justeru, beliau menyeru kepada semua Ketua - Ketua Kampung dan Ketua - Ketua Mukim untuk menyebarluas usaha Kerajaan Negeri tersebut kepada komuniti di daerah masing - masing agar merebut peluang disediakan oleh Kerajaan.
Program TOT Penanaman Lada merupakan wadah penting untuk MPB mempromosi potensi tanaman lada disamping memberi keyakinan baharu kepada pengusaha tanaman lada bahawa komoditi lada terus mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri untuk dikembangkan sebagai sumber pendapatan tambahan lumayan kepada golongan yang mengusahakannya.











