Lembaga Lada Malaysia (MPB) melalui Bahagian Perkhidmatan Tanaman telah menganjurkan Bengkel Pekebun dan Persediaan Pensijilan myGAP pada 24 - 27 November 2025, iaitu lanjutan daripada kursus seumpamanya yang telah dilaksanakan pada tahun 2024. Penganjuran bengkel ini turut mendapat kerjasama tenaga pakar dari Jabatan Pertanian Sarawak.
Menjadi salah satu usaha untuk menambah penyertaan pekebun lada dalam mendapatkan pensijilan myGAP, bengkel ini telah disertai seramai 69 orang peserta merangkumi penyelia kawasan MPB dan pekebun - pekebun lada dari pelbagai daerah.
Bengkel ini antara lain sebagai platform pendedahan dan kesedaran kepada para peserta mengenai kepentingan Amalan Pertanian Baik (GAP) menerusi pensijilan myGAP dalam memberi nilai tambah terhadap kualiti produk lada yang dihasilkan serta meningkatkan kebolehpasaran hasil lada di peringkat yang lebih tinggi.
Hadir ketika menyempurnakan penutupan kursus, Ketua Pengarah MPB, YBrs. Encik Vincent Sawat berkesempatan menitipkan semangat dan penghargaan kepada semua peserta terutamanya para pengusaha tanaman lada kerana terus berdiri teguh bersama MPB dalam membangunkan industri lada di Malaysia.











