13 DISEMBER 2025 | KUCHING, SARAWAK
Cuaca hujan di Bengoh Resettlement Scheme (BRS), Padawan tidak menghalang usaha promosi MPB di kawasan Puncak Borneo sempena program Seminar Promosi Tanaman Lada yang berlangsung meriah di Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait BRS.
Dengan kehadiran peserta dan pengunjung sekitar 200 orang, program ini menjadi platform MPB mengumpul maklum balas industri, memperkenalkan teknologi penanaman baharu serta menyebarkan maklumat dan inisiatif kerajaan untuk rakyat khususnya pengusaha komoditi lada di Malaysia.
Hadir menyokong program MPB pada hari ini ialah Ahli Parlimen P.198 Puncak Borneo, YB Datuk Willie anak Mongin. Berucap ketika menyempurnakan program, beliau berkata bahawa walaupun Malaysia bukan pengeluar lada terbesar lada dunia, namun dari segi kualiti, Lada Malaysia memiliki keunikan yang tiada tandingannya. Malah, beliau turut mengakui masih setia menggunakan produk Lada Malaysia dalam rutin pemakanan hariannya.
Justeru, beliau telah menyeru para penduduk di kawasan parlimen Puncak Borneo untuk mengambil peluang menerusi insentif yang disediakan oleh Kerajaan menerusi MPB terutamanya di bawah Rancangan Malaysia Ketigabelas (RMKe-13) dengan mengusahakan kawasan tanaman lada baharu serta menyelenggara tanaman dengan baik berpandukan Amalan Pertanian Baik (GAP).
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) MPB, Puan Florence Sanjan berucap mewakili Ketua Pengarah turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Ketua Kampung Taba Sait, KK Sayang anak Bidi dan penduduk kampung sekitar yang telah membantu MPB sepanjang persiapan program.











