Lembaga Lada Malaysia (MPB) memperkukuh keterlibatan bersama pekebun kecil menerusi lawatan kerja Ketua Pengarah, YBrs. Encik Vincent Sawat ke lima lokasi pengeluaran lada utama di Julau termasuk di kawasan Wong Keredat, Lubok Besai, Masit, Rantau Chire dan Rantau Kemedu sekitar dua hari lalu.
Lawatan ini memberi fokus kepada pemantauan kemajuan dua inisiatif projek utama lapangan iaitu Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) dan Plot Fertigasi Lada. Dalam masa yang sama, ia turut dimanfaatkan sebagai ruang interaksi bersemuka bagi mendengar secara langsung pengalaman dan keperluan komuniti pekebun kecil.
Secara keseluruhan, lawatan ini mencerminkan pendekatan MPB yang terus mendampingi pekebun selaras dengan usaha menjadikan industri lada lebih kompetitif, mampan, dan berpaksikan kepada manfaat komuniti setempat menerusi rancangan pembangunan industri yang lebih tepat dan berimpak.











