22 Ogos 2023 | Senai, Johor
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hadir merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada Negeri Johor bertempat di Le Grendeur Resort, hari ini.
Dihadiri seramai lebih kurang 200 peserta yang merupakan penggiat industri lada di seluruh Wilayah Semenanjung Malaysia, program ini merupakan sebahagian inisiatif berterusan daripada pihak Lembaga Lada Malaysia untuk mendekati golongan sasar sektor lada disamping penyaluran skim-skim bantuan tanaman lada dan pembiayaan keusahawanan lada yang giat dilaksanakan pada masa ini.
Dato' Sri Haji Fadillah dalam ucapan beliau turut memuji usaha yang ditunjukkan oleh MPB kerana telah memainkan peranan yang baik dan menyeluruh dalam membangunkan sektor Agrikomoditi lada di Malaysia.
Hadir bersama memeriahkan program adalah Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, YB Dato Anyi Ngau ; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato' Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), YBhg. Dato' Zailani bin Haji Hashim serta Ketua - Ketua dan wakil Jabatan dan Agensi Persekutuan dan Negeri.
Untuk rekod, Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada Negeri Johor telah diadakan selama dua hari melibatkan sesi ceramah dan dialog bersama para peserta yang hadir.