25 Ogos 2023 | Julau, Sarawak
Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB), YB Dato Anyi Ngau meneruskan misi menyantuni golongan sasar di peringkat lapangan melalui penganjuran Seminar Pendigitalan Perkhidmatan MPB yang diadakan di Dewan Masyarakat Julau, hari ini.
Dimeriahkan seramai hampir 300 orang peserta yang rata-ratanya penggiat industri lada iaitu pekebun kecil lada dari kawasan Julau dan Pakan serta wakil - wakil pegawai Jabatan dan Agensi di peringkat daerah dan tempatan, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan kerana ia bukan sahaja menjadi platform kepada MPB untuk menyampaikan maklumat berkaitan industri lada, malah turut memberi peluang kepada para penggiat industri untuk mengutarakan persoalan - persoalan melalui sesi taklimat yang disampaikan oleh pegawai-pegawai MPB.
Dalam majlis yang sama, sebanyak 13 mock baucer bagi Skim Tanaman Lada Baharu, Skim Tanaman Lada Matang, Bantuan Alat Tani bagi peningkatan kualiti peringkat ladang dan bantuan alat tani di bawah Projek Pembangunan Pengeluaran Lada Premium telah disampaikan kepada penerima-penerima yang mewakili 13 buah rumah panjang di kawasan Julau dan Pakan.
Semalam juga, Pengerusi MPB turut berpeluang menyempurnakan perasmian jalan ladang pekebun kecil lada Jikang Lepong, Julau dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Rumah Joannes, Jikang Lepong, Julau.
Jalan ladang sepanjang dua kilometer yang terletak di Batu 18½, Jalan KJD tersebut merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi memudahkan perhubungan dan akses ke ladang - ladang atau kebun - kebun lada yang kebanyakannya jauh dari jalan utama.
Sehingga kini, pembinaan jalan ladang dengan kos sebanyak RM322,676.40 tersebut telah memberi manfaat kepada 19 orang pekebun kecil lada yang menggunakan laluan tersebut.
Hadir sama memeriahkan program adalah Ketua Pengarah MPB, Puan Jenny George; dan Ahli Dewan Undangan Negeri N48 Meluan, YB Rolland Duat anak Jubin.